Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tahniah Pelajar SPM Tahun 2020

Masyarakat yang lebih berusia sering meragui keupayaan orang muda dalam berdaya tahan atau kemampuan meneruskan tradisi masyarakat.

Keputusan SPM kali ini membuktikan sebaliknya.

Pelajar SPM 2020 telah membuktikan semangat rakyat Malaysia yang tidak dapat dikalahkan untuk bertahan dan cemerlang akan terus subur di dalam diri mereka.

Sudah tentu ilmuan, ahli akademik, dan warga pendidik akan mengkaji bagaimana anak muda Malaysia dapat bertahan dalam keadaan banyak gangguan dan terpaksa belajar dengan kekangan yang tinggi.

Tetapi tidak patut ada siapa pun yang mempersoalkan pencapaian pelajar SPM 2020, yang dapat menamatkan pengajian menengah mereka di tengah-tengah penularan global pandemik Covid-19 dan diuji dengan cabaran besar.

Pelajar SPM 2020 berhadapan dengan banyak rintangan termasuklah yang mereka tak patut hadapi.

Ini seperti flip-flop mengenai kaedah pembelajaran, kurangnya sokongan untuk pembelajaran dalam talian (terutama untuk pelajar B40) dan kekurangan dasar-dasar yang membantu ketika pelajar berhadapan dengan pandemik.

Sungguh menyedihkan apabila ada pelajar yang tidak berpeluang menunjukkan kepada ibu bapa atau orang tersayang kerana telah menjadi korban Covid-19. Satu kes pun sudah terlalu banyak.

Keadaan semasa seharusnya mendorong kita semua, terutama pemerintah, untuk bertindak membantu “Generasi Covid” yang hidup dengan Covid-19 ketika menjadi pelajar. Tidak wajar mereka menghadapi cabaran-cabaran ini tanpa bantuan pemerintah.

Berita-berita ini sepatutnya mendorong kita, terutamanya kerajaan untuk bertindak untuk dan demi “Generasi Covid” – golongan muda yang mana pendidikan mereka dan kemasukan mereka ke alam dewasa telah terjejas berikutan pandemik.

Ya, pelajar-pelajar SPM 2020 telah mendapat keputusan yang baik. Tetapi cabaran ini tidak patut dihadapi mana-mana generasi, apatah lagi tanpa sokongan kerajaan.

Pelajar kelas tahun 2020 keluar dengan cemerlang. Saya yakin mereka bersetuju untuk menjadi generasi terakhir yang mengalami dugaan seperti ini.

Kita tidak pasti bila Malaysia akan dapat mencapai imuniti kelompok meskipun ada usaha mempercepatkan program vaksinasi kebangsaan.

Oleh itu, kerajaan, khususnya Menteri Kanan dan Menteri Pendidikan Radzi bin Md. Jidin harus menjangkakan gangguan terhadap sistem asal persekolahan. Terbaru kita telah melanjutkan tempoh PKP.

Mereka telah bekerja lebih dari setahun, tetapi masalah asasmasih ada, termasuk kekurangan alat untuk pelajar yang memerlukan, di samping kekurangan sokongan kritikal bagi guru untuk memanfaatkan pembelajaran dalam talian sepenuhnya.

Adakah sesiapa benar-benar percaya bahawa pembelajaran atas talian, atau secara bersemuka dengan penjarakkan, sama ada dari segi kesihatan awam atau kewangan, akan menjadi mudah buat pelajar-pelajar B40 dan M40 dan keluarga mereka berbanding tahun lepas?

Kami di Pakatan Harapan dan beberapa kumpulan masyarakat sivil dengan niat baik telah menggariskan penyelesaian mengenai apa yang harus dilakukan berulang kali – tetapi maklum balas kami selalunya tidak dilayan.

Selain itu, saya juga secara konsisten berpendapat bahawa pelajar kelas tahun 2020 dan “Generasi Covid” perlu dipantau dan disokong.

Mereka berjaya melayari “ribut” menduduki SPM semasa pandemik. Ia cuma rintangan pertama dari banyak rintangan yang bakal menanti: Bagaimana pengalaman mereka akan mempengaruhi prestasi pendidikan tinggi dan kerjaya?

Itulah sebabnya saya mendesak agar “Generasi Covid” dibantu ketika mereka melanjutkan pelajaran atau memasuki pasaran pekerjaan.

Sebagai contoh, institusi pendidikan tinggi perlu memperluas tawaran asasi atau diploma jika mereka masuk sebagai “Generasi Covid”, kerana mereka memerlukan lebih banyak persiapan untuk pengajian tinggi.

Majikan juga perlu memastikan latihan dan penglibatan bahagian sumber manusia diberikan kepada pekerja sekiranya mereka tidak mempunyai kemahiran yang relevan. Ini memang sudah dilakukan majikan yang baik.

Secara keseluruhan, kita tentu memerlukan dasar dan inisiatif penciptaan pekerjaan yang lebih baik daripada apa yang telah ditawarkan oleh kerajaan PN setakat ini.

Pengawasan semacam itu harus berlanjutan selama bertahun-tahun, walaupun selepas pandemik berakhir, meskipun pastinya ada Generasi Covid yang akan mempunyai prestasi lebih baik berbanding yang lain.

Itulah sebabnya tugas ini mesti menyeluruh, terperinci dan sepatutnya telah dimulakan beberapa bulan yang lalu, malah tahun lepas.

Jika kita gagal dalam hal ini, kita akan kehilangan generasi Covid. Negara juga akan terkesan.

Kepada pelajar SPM 2020, saya mengucapkan selamat maju jaya. Keputusan SPM anda – tidak kira apa keputusannya – bukanlah gambaran anda.

Apa yang paling penting adalah keperibadian anda dan manfaat yang anda berikan kepada keluarga, teman-teman dan masyarakat anda.

Masa depan mendatang sememangnya mencabar, tetapi ini adalah masa depan ANDA.

Saya bertekad bahawa saya melakukan yang terbaik untuk merealisasikan masa depan yang mana Malaysia bukan saja bangkit dari pandemik, tetapi penuh dengan harapan dan peluang untuk anda semua.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN MENGENAI PENDIDIKAN
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN MENGENAI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA