Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Tentang Gaji Kehidupan Wajar (Living Wage)

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan tentang gaji kehidupan wajar (living wage):-

(a) apakah data kajian Bank Negara atau agensi Kerajaan lain kadar gaji kehidupan wajar mengikut geografi di Malaysia; dan

(b) adakah Kerajaan bersedia menimbang bayaran berbentuk elaun bagi memastikan penjawat awam menerima pendapatan setara dengan gaji kehidupan wajar di Lembah Kelang?

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aspek kesejateran rakyat sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup setiap rakyat. Terdapat pelbagai indikator ekonomi boleh digunakan sebagai kayu ukur kepada pencapaian taraf sosioekonomi. Antara indicator statistik yang boleh digunakan adalah statistik isi rumah, ketaksamarataan, kemiskinan, statistik gaji dan upah dan lain-lain. Indikator ini merupakan antara proksi yang boleh digunakan untuk mengukur tingkat kesejateran isi rumah.

2. DOSM mengeluarkan statistik utama lain terutamanya yang berkaitan dengan pendapatan isi rumah. Statistik ini diperoleh melalui Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dilaksanakan dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun.

3. Tujuan utama survei ini adalah untuk mengumpul maklumat pola tunuran pendapatan isi rumah dan mengenal pasti golongan isi rumah miskin. HIS merupakan survei secara pensampelan berkebarangkalian yang meliputi negeri, daerah pentadbiran dan strata (bandar/luar bandar).

4. Berdasarkan Survei Pendapatan Isirumah 2019, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah meningkat pada kadar 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 berbanding RM5,228 (2016). Manakala pendapatan isi rumah purata meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 4.2 peratus setahun.

5. Salah satu indikator lain yang juga penting dalam menilai taraf sosioekonomi rakyat adalah melalui Survei Gaji dan Upah (SGU). Survei ini mengumpul maklumat berkaitan gaji dan upah bulanan pekerja bergaji daripada pekerjaan utama. Berdasarkan survei ini, penengah dan purata gaji dan upah bulanan bagi Malaysia pada tahun 2018 masing-masing ialah RM2,308 dan RM3,087.
6. Kerajaan sentiasa dari semasa ke semasa membuat kajian semakan elaun Perkhidmatan Awam secara keseluruhan berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Dalam melaksanakan kajian semakan elaun, pertimbangan dan perhatian secara berhati-hati perlu diberikan mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan kerana pelaksanaannya secara langsung memberi implikasi kepada perbelanjaan mengurus yang tinggi.

7. Selain dibayar gaji berdasarkan jadual gaji yang berkuat kuasa, penjawat awam juga menerima imbuhan tetap dan pelbagai jenis elaun berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu termasuklah kos sara hidup.

8. Antara elaun yang diberikan berasaskan kriteria kos sara hidup di mana komponen utama kos sara hidup seperti makanan, sewaan dan pengangkutan ialah Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) yang dibayar pada kadar RM150 hingga RM350 sebulan mengikut kumpulan perkhidmatan dan kawasan yang telah ditetapkan. Semakan kenaikan kadar terakhir bagi BISH juga telah dilaksanakan Kerajaan pada 1 Januari 2020.

Sekian, terima kasih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)