Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan bahawa idea program BR1M / Bantuan Sara Hidup adalah baik tetapi tak capai sasaran. Reformasi bantuan ini adalah penting untuk selesaikan masalah kemiskinan bandar yang serius di negara kita.
Walaupun laporan selepas laporan telah menekankan keperluan untuk menangani kemiskinan bandar secara menyeluruh dan di peringkat asas, pentadbiran yang terdahulu biasanya telah memilih untuk mengambil langkah kecil yang tidak tertumpu pada punca asal dan kesan kemiskinan bandar.
Menurut statistik rasmi, proses urbanisasi di Malaysia berlaku secara pesat sejak tahun 1980an, sehingga lebih 70 peratus penduduk keseluruhan terdiri daripada penduduk bandar dalam tahun 2010. Beberapa penyelidik juga telah meramalkan bahawa menjelang tahun 2030, tiga suku penduduk Malaysia akan terdiri daripada penduduk bandar.
Walaupun urbanisasi secara pesat ini merupakan hasil langsung daripada perindustrian negara kita, ia juga telah menelan kos yang besar, iaitu penyebab utama peningkatan ketidakseimbangan ekonomi dalam bandar-bandar kita, bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi juga dari segi perbelanjaan.
Seperti yang disebut dalam Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia yang dikeluarkan pada tahun 2017, Kajian Perbelanjaan Isi Rumah pada tahun itu telah menunjukkan ketidaksamaan yang ketara dalam komposisi perbelanjaan isi rumah dalam seluruh golongan pendapatan, dengan segmen isi rumah berpendapatan paling rendah membelanjakan hampir 40 peratus perbelanjaan mereka untuk makanan, berbanding dengan 25 peratus dalam segmen kalangan berpendapatan tertinggi.
Kajian UNICEF pada awal tahun ini juga telah menekankan satu lagi penemuan yang merisaukan—kadar malnutrisi yang membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak miskin bandar. Penemuan sedemikian adalah kritikal kerana ia menunjukkan bahawa tiada penjagaan yang secukupnya disediakan dan kekurangan peluang untuk mengakses keperluan yang paling asas disebabkan kekangan kewangan.
Masyarakat miskin bandar adalah masyarakat yang paling lemah dalam keadaan ini memandangkan kos sara hidup yang meningkat juga berkait dengan isu upah yang tidak meningkat, kekurangan perumahan mampu milik, peningkatan hutang isi rumah dan simpanan persaraan yang lebih rendah.
Walaupun kerajaan telah pun mula untuk menyelesaikan isu ini dengan, antara lain, penarafan sifar GST (sementara kita menunggu pengenalan semula SST), apa-apa dasar untuk membantu golongan miskin tidak sepatutnya hanya tertumpu pada peningkatan kuasa membeli sahaja – walaupun itu harus diteruskan dengan bersungguh-sungguh. Pada dasarnya apa yang memberi kesan kepada golongan yang terpinggir dari aspek ekonomi dan sosial adalah bagaimana mereka dikecualikan daripada banyak modal sosial yang tersedia bagi semua rakyat lain.
Mobiliti sosial ialah kunci untuk membolehkan golongan miskin keluar dari belenggu kemiskinan dan tidak lagi tersekat dalam kitaran kemiskinan yang sama untuk bertahun-tahun.
Dalam satu kajian pada tahun 2016 oleh Institut Penyelidikan Khazanah, pendidikan jelasnya merupakan penyelesaian paling berkesan—kajian tersebut mendapati bahawa hanya 33 peratus kanak-kanak yang dilahirkan kepada ibu bapa yang tidak berpendidikan formal mempunyai pendidikan tinggi berbanding dengan 92 peratus kanak-kanak yang dilahirkan kepada ibu bapa yang mempunyai pendidikan tinggi Namun begitu, dasar pendidikan atas ke bawah (top-down) tidak mencukupi, tidak kira betapa baik perancangannya.
Halangan utama kepada perolehan pendidikan dalam kalangan miskin bandar ialah kekurangan struktur sokongan keluarga dan sosial yang biasanya hanya mampu dimiliki oleh golongan yang lebih mampu. Oleh itu, persekolahan formal bagi golongan miskin bandar patut disertakan dengan struktur sokongan yang kukuh, seperti pengalaman saya dengan Projek Mentari, sebuah program selepas sekolah yang menggabungkan bantuan pendidikan dengan penglibatan komuniti.
Program kerajaan tidak boleh lagi dijalankan sedikit demi sedikit: yang terutamanya, kita harus mendapatkan dasar struktur jangka panjang yang berkaitan dengan pendidikan dan jaringan keselamatan sosial dengan betul tetapi inisiatif lain juga harus dipertingkatkan – seperti sokongan bagi nutrisi, kesihatan dan penjagaan kanak-kanak.
Antara contoh termasuklah program MyKasih yang ditadbir oleh Yayasan MyKasih. Dengan menggunakan Bolsa Familia yang berjaya di Brazil sebagai model, program tersebut menyalurkan pemindahan tunai kepada ibu-ibu atas syarat anak-anak mereka terus bersekolah. Bolsa Familia telah membuktikan keberhasilan dalam meningkatkan bukan sahaja pendidikan, tetapi juga tahap kesihatan bagi golongan miskin Brazil, kerana salah satu syarat lainnya ialah kanak-kanak perlu mendapatkan vaksin.
Sememangnya, terdapat skop di sini untuk memperluas skala program seperti MyKasih, dan mereformasi pemindahan wang sedia ada kita (seperti Bantuan Sara Hidup, sebelum ini dikenali sebagai BR1M) kepada sebuah program disasarkan seperti Bolsa Familia.
Tambahan pula, golongan miskin bandar juga harus dilengkapi dengan kemahiran yang membolehkan mereka untuk memperoleh peluang ekonomi lebih baik – di sinilah program TVET dan keusahawanan memainkan peranan penting untuk jangka masa panjang.
Kita perlu beralih dari menyelesaikan ketidakseimbangan pendapatan ke menyelesaikan ketidakseimbangan peluang. Mobiliti sosial secara terasnya adalah mengenai menyebarkan peluang, yang memerlukan dasar pembangunan yang lebih inklusif.
Dalam jangka masa panjang, kita perlu meletakkan lebih banyak penekanan pada dasar sosioekonomi yang membantu golongan yang kurang bernasib baik merealisasikan potensi mereka dalam persekitaran yang kondusif. Sudah tentu, pengekalan negara dalam kedudukan fiskal dan monetari yang kukuh adalah penting, tetapi kita juga harus menangani persoalan sosial, dengan dasar dan program yang memperkasa rakyat, iaitu jiwa ekonomi kita.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA
2 Comments
Bantuan Sara Hidup
Semoga pemberian BSH dapat dinikmati semua yang memerlukan. Terima kasih untuk perkongsian ini.
Syul Hezri
Terima kasih.
-Nik Nazmi Nik Ahmad-
Comments are closed.