Sebentar tadi, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan Talian Kasih beroperasi sepenuh masa 24/7.
Hakikatnya, KPWKM telah memaklumkan menerusi Twitter pada 18 Mac 2020:
‘Semua urusan di Pusat Panggilan Talian Kasih akan beroperasi semula pada 1 April 2020. Sebarang aduan kes kecemasan mohon hubungi talian 999 atau 112.’
Tidak lama kemudian, tweet tersebut dipadam. Namun cubaan beberapa pihak menghubungi Talian Kasih mendapat mesej dirakam bahawa talian tersebut ditangguhkan sehingga 31 Mac dan untuk menghubungi 999 jika ada sebarang masalah.
Perkara ini kemudian dibangkitkan bukan sahaja oleh wakil rakyat pembangkang seperti Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh, tetapi juga oleh wakil rakyat UMNO seperti Dato’ Sri Azalina Othman Said (yang kini menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat).
Hanya selepas isu ini panas Rina menjawab bahawa Talian Kasih tidak ditutup.
Sebaiknya Menteri memberi jawapan lebih jujur tentang insiden ini dan saya berharap pengalaman ini tidak berulang memandangkan Talian Kasih memainkan peranan sangat penting dalam isu kecemasan melibatkan kebajikan dan kemasyarakatan.