Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Keputusan Kes Najib

Sabitan bersalah ke atas Dato’ Seri Najib Razak di dalam kes SRC International melibatkan kesemua 7 dakwaan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram menunjukkan keadilan telah dicapai.

Sabitan ini membuktikan bahawa perjuangan rakyat Malaysia yang cintakan negara dalam membongkar dan menuntut keadilan terhadap kebobrokan yang dibawa oleh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekian lama akhirnya adalah wajar dan benar.

Tidak lagi ragu bahawa skandal 1MDB telah beri kesan negatif yang besar ke atas negara kita. Rakyat boleh menghakimi sendiri selepas bertahun-tahun usaha penafian atau pengaburan bukan saja oleh Najib tetapi juga oleh penyokong-penyokong tegarnya.

Usaha-usaha penyiasatan, kes-kes mahkamah, dan usaha mengembalikan wang yang dicuri dari 1MDB perlulah diteruskan tanpa ditangguhkan, sebarang rasa takut atau pilih kasih terhadap mana-mana pihak.

Setiap sen yang dicuri itu perlulah dipulangkan dan semua pihak bersalah mestilah dibawa ke muka keadilan.

Walaupun perkembangan dalam kes mahkamah hari ini disambut dengan baik, ia hanyalah permulaan dan bukannya pengakhiran bagi kes ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA