Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tak Najib, Anda Tidak Tinggalkan Masyarakat Yang Lebih Adil Dan Penyayang

Ucapan Datuk Seri Najib Razak sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan didenda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes SRC International menunjukkan beliau di alam mimpi dan tak berpijak di bumi nyata, walaupun dalam keadaan bakal kehilangan kebebasan kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Barangkali dia berharap agar rakyat Malaysia mudah lupa. Ia cukup menakjubkan ucapan seperti ini tidak ditertawakan di luar mahkamah.

Dia mengatakan ketika zamannya sebagai PM; “Saya telah memastikan masyarakat yang lebih adil dan penyayang.”

Malaysia dalam tempoh masa 2009-2018 tidak menggambarkan masyarakat ini. Jangan kita lupa, ketika Najib memimpin Malaysia, ramai rakyat Malaysia yang mempersoalkan pasukan pemerintah dan tindakannya dihukum di bawah Akta Hasutan.

Undang-undang juga disalahgunakan terhadap ahli politik pembangkang. Contohnya, penggunaan BAFIA yang tidak wajar terhadap Rafizi Ramli dan saya sendiri menjadi mangsa Akta Perhimpunan Aman

Keputusan kontroversi ke atas Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan juga berlaku pada zamannya. Syukurlah, kebanyakan penyalahgunaan ini diperbaiki semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa – tetapi insiden ini adalah bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa Najib tidak pernah mempertahankan kebebasan dan suasana demokratik.

Semasa pemerintahannya, hubungan perkauman semakin buruk walaupun terdapat usaha untuk mewujudkan “1Malaysia.” Bagaimanapun, ini adalah era “Apa lagi Cina mau” dan percubaan lain untuk menekan kaum minoriti serta menakutkan orang Melayu agar tunduk. Jelas masyarakat Malaysia di bawah Najib sering terdedah kepada kekerasan dan ketakutan.

Kita juga tidak boleh lupa, dari segi ekonomi, Najib gagal. Beliau meratib angka-angka KDNK, nilai tinggi pasaran saham, dan kewujudan projek mega pada zamannya sebagai pencapaian utama.

Ia memberi gambaran bagaimana model apa yang dikatakan pembangunan pada zaman BN, dan sekarang PN sama sekali tidak berpijak pada realiti rakyat Malaysia biasa.

Beliau sama sekali tidak bercakap mengenai pekerjaan atau mengurangkan kos sara hidup. Kadar gaji kepada KDNK kekal rendah, sementara keuntungan korporat terus-menerus tinggi.

Beliaulah bapa Cukai GST yang pelaksanaannya menindas dan mematikan banyak perniagaan kecil Malaysia dan memberi bebanan kepada kelas menengah dan pekerja.

Harga meningkat kerana GST bukan sahaja untuk pengguna tetapi berpunca dari pelaksanaan tidak betul maka perniagaan kecil dibebankan lebih besar berbanding syarikat-syarikat besar. Kenaikan harga rumah juga satu beban yang besar yang perlu dipikul rakyat. Ini sebahagiannya berpunca dari dasar wang yang mudah yang menguntungkan golongan yang bermain spekulasi.

Kita boleh melihat fakta pada bulan Februari 2018 (ketika Najib masih berkuasa), UNICEF menerbitkan sebuah kajian yang mendedahkan bahawa satu dari lima anak di kawasan kelas pekerja Kuala Lumpur (seperti rumah pangsa kos rendah) menghadapi masalah pembesaran terbantut, sementara seorang daripada 10 orang kurang berat badan. Sedangkan KDNK KL hampir mencapai tahap negara-negara maju di Asia.

Selain itu, mustahil beliau menggambarkan projek pengangkutan awamnya sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan. Hal ini kerana sejumlah besar perundingan semula yang harus dilakukan oleh PH untuk mendapatkan tawaran yang lebih baik untuk kepentingan rakyat.

Skandal 1MDB bukan sahaja merosakkan reputasi Malaysia, tetapi dengan hutang mencecah RM42 bilion – menjadi beban besar kepada hasil negara. Wang ini cukup untuk membina 100 kampus baru UiTM, 1000 sekolah rendah baru atau memberi RM1300 seorang kepada setiap warganegara Malaysia.

Kerajaan Amerika menganggarkan dari 8 bilion dollar AS (RM34 bilion) yang diperoleh dari jualan bon, separuh dihilangkan.

1MDB juga melibatkan institusi-institusi lain seperti KWAP – wang persaraan penjawat awam, Tabung Haji dan LTAT, wang persaraan angkatan tentera. Majoriti besar yang ada wang di LTAT dan KWAP adalah orang Melayu, manakala hanya orang Islam ada akaun di Tabung Haji. Tapi Najib jaja seluruh negara yang beliau pertahankan Melayu-Islam.

Tanpa 1MDB, Malaysia akan bangkit lebih pantas dari Krisis Kewangan Dunia 2009. Memandangkan situasi ekonomi dunia dalam keadaan baik, terutama sejak 2012 sehingga baru-baru ini, kita akan berada pada kedudukan lebih baik untuk berdepan krisis Covid-19.

Pada 2011, nisbah hutang kerajaan kepada KDNK mencecah 50 peratus, mencapai kemuncak 53.6 peratus pada 2015 sebelum turun ke 51.2 peratus pada 2018. Had perundangan adalah 55 peratus. Jika kita mengambilkira hutang luar jangka kerajaan, angka ini melebihi RM1 trilion hari ini.

Sudah tentu ramai yang sedih melihat anak Allahyarham Tun Abdul Razak telah kehilangan integriti dan dedikasi ayahnya. Ayah saya, semasa beliau masih dalam perkhidmatan awam, pernah berkhidmat sebagai KSU Najib kali pertama beliau menjadi Timbalan Menteri. Bapa Najib masih dihormati hingga ke hari ini di hati dan fikiran ramai rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu.

Adalah normal bagi kita untuk fokus pada masa sekarang dan masa hadapan. Terutama ketika kita menghadapi masa-masa sukar di hadapan dengan cabaran kesihatan awam dan sosio-ekonomi yang muncul akibat wabak Covid-19. Namun, kita tidak boleh melupakan bencana yang ditimbulkan oleh kesalahan Najib. Dan kita tidak boleh ragu bahawa kita memiliki kuasa untuk menyelamatkan negara dan memajukannya tanpa menghiraukan halangan yang ada di hadapan.