Saya merujuk kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin dipetik Bernama pada 14 September 2013 sebagai berkata:
“Kita tidak apologetik dan tidak merasa bimbang kalau-kalau pihak lain yang bukan Bumiputera atau masyarakat antarabangsa melihat ini sebagai sesuatu yang bersifat kumpulan tertentu. Bagi kita yang penting ialah agenda Bumiputera.”
Muhyiddin merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Kerajaan akan membelanjakan beberapa billion ringgit untuk inisiatif pemerkasaan masyarakat Bumiputera.
Sudah tentu mengangkat marabat masyarakat Bumiputera adalah isu penting yang menjadi cabaran besar buat Malaysia.
Pun begitu PM, TPM dan UMNO yang mereka pimpin perlu memberi jawapan kepada semua rakyat Malaysia – tanpa mengira kaum atau agama – mengapakah masyarakat Bumiputera kekal lemah di bawah kepimpinan mereka?
Bukankah UMNO – menerusi Perikatan dan BN – telah memegang tampuk pemerintahan sejak Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, tempoh melebihi 56 tahun?
Hampir sepanjang tempoh itu UMNO telah menikmati majoriti yang amat besar di Parlimen dan tidak banyak menerima tentangan – politik mahupun berbentuk lain – terhadap agendanya.
DEB telah diperkenalkan 42 tahun yang lalu. Malah, dasar itu kekal sebagai retorik UMNO dan sekutu-sekutu mereka, meskipun DEB secara teorinya berakhir pada 1990.
Malangnya, tiada siapa dapat menafikan masyarakat Bumiputera kekal lemah hari ini dalam banyak aspek.
Menjelang Hari Malaysia harus diingati juga UMNO sering menggunakan istilah Melayu dan Bumiputera secara seiring namun keadaan Bumiputera Sabah dan Sarawak teramatlah daif berbanding ramai di Semenanjung Malaysia.
Ucapan PM menggambarkan banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Bumiputera, termasuk hakikat bahawa pendapatan purata masyarakat Cina Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dengan nisbah 1: 1.43 dan effective control terhadap syarikat korporat hanyalah 10 peratus.
Juga mesti dibawa perhatian cabaran berterusan graduan Bumiputera mendapat pekerjaan di sektor swasta sebagaimana digambarkan di dalam kertas kerja “Does race matter for getting an interview? A field experiment on hiring discrimination in Malaysia” oleh ahli-ahli akademik Hwok-Aun Lee and Muhammad Abdul Khalid pada 2012.
Ini semua di samping masalah-masalah lain yang dihadapi semua rakyat Malaysia – khususnya golongan muda – termasuklah perumahan dan pengangkutan yang semakin mahal, hutang isi rumah yang meruncing sehingga 83% KDNK dan kadar jenayah yang meningkat.
Kerajaan mesti menjelaskan kepada semua rakyat mengapa ekonomi kita telah sampai ke tahap ini, sehingga Fitch Ratings merendahkan unjuran penilaian kredit Malaysia berdasarkan kesamaran petanda jelas reformasi fiskal.
Kerajaan mesti menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia mengapa – meskipun begitu lama DEB dilaksanakan dan berbilion-bilion ringgit dibelanjakan – mobiliti sosial Bumiputera kekal rapuh dan memperlukan sokongan Kerajaan berterusan.
Tiga tahun lalu Najib mengakui bahawa daripada RM54 bilion nilai saham yang diperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera, hanya RM2 bilion yang kekal di tangan masyarakat itu. Ke manakah pergi saham yang lain?
Mobiliti sosial hanyalah bermakna pada jangka masa panjang sekiranya fenomena ini dapat bertahan sendiri. Justeru, mobiliti sosial seharusnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang tanpa bantuan yang berterusan.
Isu terbesar yang harus dijelaskan Kerajaan ialah mengapa jurang sosioekonomi di dalam masyarakat Bumiputera semakin melebar.
UMNO tidak boleh menyalahkan masyarakat Bumiputera memandangkan selama ini UMNO sering menyeru kita untuk meletakkan kepercayaan dan sokongan kita kepada mereka – dan hanya parti mereka – untuk berbuat yang terbaik untuk kita. Mana-mana Bumiputera yang berfikiran sebaliknya terus dilabel sebagai pengkhianat kaum, agama dan negara.
Hakikatnya, UMNO yang bertanggungjawab di atas kelemahan berterusan masyarakat Bumiputera.
Sebagaimana saya telah sebut sebelum ini, tiada siapa mempersoalkan keperluan mengangkat martabat majoriti masyarakat Bumiputera. Namun, kita harus menyedari kegagalan Kerajaan telah menjadi beban yang besar kepada rakyat.
Berapa bilionkah yang telah lesap kerana rasuah dan salah tadbir?
Berapa banyakkah sumber manusia – Bumiputera dan bukan Bumiputera – yang telah mengalir keluar negara ini apabila rakyat yang paling berkebolehan mencari padang yang lebih sama rata untuk membuktikan kebolehan mereka?
Berapa lamakah penyelesaian kepentingan dan masalah sebenar masyarakat Bukan Bumiputera perlu ditangguhkan atau tidak diendahkan sementara Kerajaan memainkan sentimen masyarakat Bumiputera sehingga hubungan antara kaum menjadi korban?
Semua rakyat menjadi mangsa kegagalan dasar-dasar Kerajaan UMNO-BN – yang lebih mementingkan retorik daripada perkara-perkara substantive. Pendekatan Kerajaan hanyalah membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah tersebut akan selesai.
Masyarakat Bumiputera khususnya menjadi mangsa sikap UMNO-BN yang begitu lantang menolak sebarang perbezaan pendapat dalam isu “Agenda Bumiputera” atau “Agenda Melayu” khususnya yang datang daripada masyarakat Bumiputera / Melayu sendiri.
Inisiatif terbaru PM tidak memberikan keyakinan bahawa isu-isu pokok yang dihadapi masyarakat Bumiputera – untuk menjadikannya stabil dan makmur tanpa campurtangan Kerajaan yang berterusan – dapat diatasi.
Malah, langkah-langkah ini adalah lebih untuk memastikan survival politik individu-individu tertentu, bukannya keprihatinan sebenar untuk mengangkat martabat Bumiputera.
Albert Einstein pernah mengatakan kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berkali-kali dan berharapkan keputusan yang berbeza.
Rakyat sama ada Bumiputera mahupun bukan Bumiputera amatlah memerlukan tadbirurus yang baru untuk membawa negara ini ke hadapan.