Nota: Sebelum ini versi Inggeris telah terbit. Versi BM lebih mendalam dengan catatan-catatan yang tiada dalam versi Inggeris.
Kehadiran saya di Kongres Nasional KEADILAN 2019—dua puluh tahun selepas parti ditubuhkan—mencetuskan pelbagai emosi dan kenangan bagi saya.
Saya masih ingat pertikaian yang timbul semasa Reformasi meletus.
Selepas Anwar dipecat, saya menghadiri Nadwah Kepimpinan Islam, sebuah acara yang dianjurkan oleh PKPIM untuk pemimpin pelajar Islam dari sekolah-sekolah berasrama penuh.
Seperti Sanusi Junid, Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli, saya memegang jawatan dalam Badan Revolusi Agama (kini Badan Nahdah Islamiyyah) MCKK.
PKPIM mempunyai hubungan yang erat dengan Anwar, dan para mahasiswa yang menjadi naqib kami menjelaskan kepada kami perkembangan terkini.
Presiden PKPIM yang hadir di Nadwah itu, Cikgu Amidi ditangkap bawah ISA selepas peristiwa itu. Amidi kini merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Pada akhir kongres tersebut, seorang guru saya pada masa itu—mungkin selepas dicuci otak—mendakwa bahawa dia ditunjuk semua bukti bahawa Anwar bersalah.
Pulang ke rumah, saya terkejut apabila ayah saya yang pro-PAS (dan pernah dipelawa Almarhum Tok Guru Nik Aziz bertanding untuk PAS pada 1990) percaya bahawa Anwar tidak bersalah.
Kami berbahas mengenai keperluan untuk menegakkan prinsip, sama ada berbaloi untuk menerima seorang individu yang hampir sampai ke puncak sistem rosak yang kini ditentangnya.
Keluarga saya merupakan penyokong pembangkang, tetapi sudah tentu mereka mengambil berat keselamatan saya. Akhirnya, selaku seorang anak muda berusia 16 tahun, saya merasakan bahawa ini adalah perjuangan saya.
Kemudian, PRU 1999 menjelang.
Parti Keadilan Nasional ditubuhkan sebagai kesinambungan gerakan Reformasi yang lahir di Kuala Lumpur, dan mempunyai aspirasi untuk menjadi sebuah parti yang pelbagai kaum, sebuah parti untuk semua.
Namun, KEADILAN akhirnya menang 5 kerusi sahaja, kehampiran semua yang majoriti Melayu dan luar bandar, termasuk kubu Permatang Pauh Anwar Ibrahim yang ditandingi oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Semua pemimpin utama kami kalah di kawasan bandar yang berbilang kaum. Ezam Mohd Noor di Shah Alam, Chandra Muzaffar di Bandar Tun Razak dan Marina Yusoff di Wangsa Maju (kini sebahagiannya menjadi Setiawangsa).
Pada masa itu kami belum lagi mencipta dasar yang dapat mendorong kami ke depan pada tahun-tahun kemudian.
Pembangkang memperoleh majoriti daripada pengundi Melayu, tetapi UMNO dan BN diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu.
Pada tahun 2001, ketika saya berusia 19 tahun, dua bekas pelajar MCKK, Rafizi Ramli dan Allahyarham Adlan Benan Omar, mendorong saya untuk membantu parti—menganjurkan program, menulis artikel dan ucapan, serta menjalankan penyelidikan untuk para pemimpin.
Kerja saya dengan parti memang lebih berfaedah berbanding dengan membaca buku teks undang-undang sahaja. Saya menulis artikel mengkritik kerajaan secara terbuka di Malaysiakini walaupun merupakan pelajar biasiswa PNB yang akan ke luar negara.
Kempen pertama saya hadiri adalah ketika menyambut harijadi ke 20 saya, di PRK Indera Kayangan, Perlis.
Adlan Benan dan Saiful Izham Ramli (kemudian Senator dan kini Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) menjemput saya dari KYUEM untuk ke Perlis. Malam itu Saifuddin meminta saya menyediakan content untuk risalah kempen.
Pada September tahun itu saya ke King’s College London. Rafizi menjemput saya di Heathrow. Sebulan selepas saya tiba, saya dan Rafizi mengadakan program untuk Izzah di London dan Dublin.
Namun kali ini, walaupun di luar negara, aktiviti saya sampai ke perhatian Jabatan Pelajar Malaysia dan saya menerima surat amaran pelucutan biasiswa dan pembayaran semula sekiranya terlibat dalam politik ‘anti-kerajaan’.
Ibu saya menelefon saya memarahi saya menyuruh saya kurang berpolitik memandangkan kami tidak mampu meneruskan pembelajaran di London dengan wang sendiri.
Bersambung: Kekecewaan 2004