Keputusan Pilihanraya Umum 2004 ternyata lebih buruk daripada pilihanraya kami lima tahun lalu. Abdullah Ahmad Badawi mencapai kemenangan terbesar BN dengan 90 peratus kerusi di Parlimen.
Pada masa itu, saya lagi menguruskan laman web KEADILAN, dan sedang menunggu untuk mengemaskininya daripada London apabila kami dimaklum bahawa hanya Wan Azizah yang menang – itu pun hanya dengan majoriti 500+ undi setelah beberapa kali dikira semula.
Walau bagaimanapun, apabila keputusan kes fitnah pertama Anwar dibatalkan pada tahun itu, timbulnya rasa gembira dan juga keraguan. Saya sempat bertemu Anwar. Sebelum ini kami hanya berutus menerusi warkah ketika beliau di penjara.
Tetapi terdapat khabar angin bahawa beliau akan membubarkan KEADILAN dan kembalu ke UMNO seperti Parti Melayu Semangat 46. KEADILAN baru bergabung dengan PRM yang berusia lima dekad.
Waktu itu saya sangat berharap perkara ini tidak akan berlaku. Mungkin ia disebabkan darah Kelantan saya yang pekat dengan sifat memberontak.
Tetapi yang lebih penting, kerana saya tahu bahawa satu-satunya cara untuk Malaysia maju adalah melalui parti yang berbilang kaum dengan asas Melayu yang berdaya maju. Ini satu-satunya parti saya libatkan diri sejak mula berminat politik.
Tidak lama kemudian saya tamat pengajian saya dan terus bekerja dengan PNB.
Saya memutuskan untuk menyertai parti secara rasmi, melalui cabang Kelana Jaya. Saya tahu bahawa semua politik berpaksikan kerja di lapangan. Jadi bekerja di tahap akar umbi merupakan cara terbaik untuk menghayati nadi rakyat.
KEADILAN, ketika itu, masih kecil dan kekurangan dana, didorong oleh hanya idealisme. Hanya teras kecil yang tersisa selepas kekecewaan pada tahun 1999 dan 2004.
Cabang Kelana Jaya KEADILAN mempunyai komponen PRM yang ketara: ketuanya merupakan bekas pemimpin pemuda PRM dan Presiden MTUC Syed Shahir, serta salah seorang anak Ahli Parlimen Karam Singh dan anak-anak Hamid Tuah yang berjuang untuk golongan miskin Melayu.
Selebihnya merupakan bekas ahli UMNO dan rakyat Malaysia yang sebelumnya tidak berminat politik, tetapi dirangsang oleh gerakan Reformasi pada tahun 1999.
Sebagai contoh, Yee Siew Meng, (pelajar La Salle PJ) menyertai parti selepas menyaksikan ceramah Mohd Ezam Nor. Dia kemudian menjadi Pastor Gereja Presbyterian.
Azmin Ali, yang ketika itu saya mula kenal ketika menganjurkan program Anwar pada zaman mahasiswa di UK meminta saya menyediakan laporan ‘Sham Democracy’ yang memberikan bukti penipuan dan cabaran sistem pilihan raya Malaysia. Upahnya makan malam di Bangsar! Dokumen ini menjadi asas kepada kempen Bersih 1.0.
Kurang daripada setahun kemudian, Anwar menjemput saya untuk menjadi setiausaha sulitnya. Saya mengambil risiko dengan memajak harta keluarga untuk membayar penaja saya, PNB, kerana memecahkan bon lapan tahun saya.
Ada yang menganggap tindakan saya tidak berakal, tetapi saya rasa ia merupakan peluang yang terlalu baik untuk dilepaskan. Apa-apa pun saya memilih tidak lari dari penaja saya, tetapi menebus semula biasiswa saya.
Apa yang menarik perhatian saya ialah pengumuman Anwar tahun 2006 yang KEADILAN akan berusaha untuk menggantikan DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia yang akan fokus pada tindakan affirmatif yang berasaskan keperluan dan bukan warna kulit.
Ramai kawan-kawan Anwar—termasuk yang bukan Melayu—berkata dasar tersebut akan membawa musnah kepada kerjaya politiknya.
Tapi tahun itu, dalam insiden yang dilupakan oleh ramai, KEADILAN memenangi kerusi DUN pertama di Sarawak. Calon itu adalah Dominique Ng, memberikan KEADILAN wakil rakyat pertama yang bukan Melayu di seluruh negara.
Ia merupakan satu kejayaan bagi sebuah parti yang sering dianggap di Sabah dan Sarawak sebagai sebuah “Parti Malaya”, dan potensinya sebagai parti pelbagai kaum belum diterima.
Bersambung: Tsunami 2008