Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Bukan Lisan Graduan Perubatan Menunggu Lama Mendapat Pekerjaan

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kesihatan menyatakan
a) Apakah tindakan lebih drastik diambil oleh Kementerian untuk mengatasi tempoh menunggu yang lama bagi graduan perubatan dengan menambah bilangan hospital siswazah memandangkan nisbah doktor pesakit Malaysia masih tidak mencapai tahap WHO; dan
b) adakah Kementerian akan mempercepatkan penyerapan graduan ILKKM yang menunggu sehingga lebih satu tahun untuk dipanggil bekerja.

Jawapan:
Yang di-Pertua,
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan mengakui bahawa graduan perubatan terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk dilantik bagi menjalani latihan siswazah di Hospital-hospital Latihan Siswazah KKM iaitu dalam tempoh 8 hingga 11 bulan pada masa ini selepas graduan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Malaysia.
Tempoh menunggu tersebut disebabkan tempat atau slot latihan siswazah yang disediakan KKM pada masa ini sebanyak 11,708 tidak dapat menampung keluaran graduan perubatan dari dalam dan luar negara yang dianggarkan sebanyak 5,000 orang setahun dan terdapat sebahagian pegawai perlu menjalani perlanjutan latihan melebihi 2 tahun. Urusan pelantikan graduan tersebut bagi menjalani latihan siswazah dilaksanakan setiap dua bulan sekali dan slot latihan yang boleh ditawarkan berdasarkan kepada slot latihan yang telah dikosongkan oleh Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) sebelumnya.
KKM telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mempercepatkan lantikan graduan perubatan tersebut iaitu:
i. membuat penambahbaikan terhadap proses lantikan graduan perubatan melalui pendekatan graduan dilantik terus secara kontrak tanpa perlu melalui proses temuduga oleh SPA mulai Julai 2017. Pelantikan hanya berasaskan graduan perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan SPA;
ii. meningkatkan bilangan Hospital Latihan Siswazah (HLS) dari 38 HLS pada tahun 2009 kepada 47 buah HLS pada tahun 2018 dan tambahkan bilangan penempatan alternative daripada 5 penempatan kepada 9 penempatan di Klinik-klinik Kesihatan termasuk Kesihatan Primer dan Psikiatri bagi membolehkan PPS menjalani latihan siswazah. Melalui pendekatan ini, slot latihan siswazah di KKM dapat ditingkatkan daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 11,706 pada tahun 2018; dan
iii. KKM telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melanjutkan pelaksanaan moratorium bagi Penawaran Kursus Baru Bidang Perubatan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara selama 5 tahun sehingga 2021 meliputi 3 aspek utama seperti berikut:
a) Tiada pertambahan universiti kolej perubatan baru;
b) Tiada pertambahan Program Pengajian Perubatan yanf baru;
c) Tiada pertambahan kuota pelajar Pengajian Perubatan.
KKM akan berusaha untuk melakukan penambahbaikan bagi memendekkan tempoh masa menunggu graduan perubatan bagi menjalani latihan siswazah melalui pendekatan-pendekatan berikut:
i. Meningkatkan atau menambah bilangan HLS baharu dengan membantu melengkapkan hospital-hospital sedia ada bagi memenuhi syarat akreditasi untuk dijadikan sebagai HLS. Berdasarkan perancangan KKM, sebanyak 8 buah hospital sedia ada sedang dalam penelitian untuk dilengkapkan sebagai HLS dalam tempoh 2 tahun akan dating. Justeru, melalui penambahan 8 buah HLS baharu ini, dijangka dapat menambah lagi 400 slot latihan siswazah;
ii. Meningkatan perkhidmatan kepakaran di hospital sedia ada melalui penempatan pakar-pakar baharu dan sedia ada di KKM bagi membolehkan mereka bertindak sebagai penyelia kepada PPS berkenaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, melalui pendekatan-pendekatan di atas, dijangkakan tempoh masa menunggu graduan perubatan bagi dilantik menjalani latihan siswazah dapat dikurangkan sehingga 6 bulan.
Untuk makluman, Kementerian sedang berusaha untuk menyelesaikan isu graduan ILKKM yang menunggu sehingga lebih satu tahun untuk dipanggil bekerja khususnya bagi membolehkan mereka dilantik berkhidmat dengan Kementerian. Beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara Kementerian dengan Agensi Pusat untuk mempertimbangkan pelantikan graduan keluaran ILKKM secara tetap atau kontrak supaya mereka dapat berkhidmat di fasiliti-fasiliti Kementerian. Kementerian berharap isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh masa terdekat.