Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Retorik perpaduan Melayu hanyalah sandiwara ulangan UMNO

 

Angkatan Muda Keadilan yakin rakyat tidak lagi mudah termakan propaganda perpaduan Melayu yang cuba disampaikan oleh UMNO terutama pasca perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Rakyat sudah maklum, setiap kali terhimpit, UMNO akan lebih lantang dan kerap menyuarakan perpaduan Melayu, dengan harapan ia akan dapat mengalih perhatian ramai daripada kepincangan parti itu.

Hakikat yang tidak dapat disembunyikan UMNO ialah parti itu sendiri kini berpecah kerana skandal penerimaan wang kira-kira RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO Najib Razak serta keraguan dalam tadbir urus 1MDB di mana beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Jelas, meskipun perpaduan adalah sebuah idealisme unggul, ia mestilah atas prinsip keadilan dan kebebasan, bukan berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa.

UMNO terus memainkan propaganda usang konon kuasa orang Melayu dan Islam kian terhakis, walhal bilangan ahli parlimen Melayu dan Islam terus bertambah meskipun penguasaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merosot.

UMNO cuba meyakinkan orang Melayu kononnya tanpa UMNO mereka akan hidup susah dan ditindas. Hakikatnya, rakyat tanpa mengira kaum hari ini terbeban oleh pelbagai dasar kerajaan yang pentadbirannya dikuasai oleh UMNO. Orang Melayu yang merupakan majoriti dalam kumpulan 40 peratus rakyat berpendapatan paling rendah terpaksa bergelut dengan dasar-dasar tersebut.

Bantuan demi bantuan yang diberi, sebenarnya lebih memperkayakan golongan elit, yang ramai daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin UMNO. Sebab itu, meskipun pelbagai bantuan telah cuba diberikan sejak sekian lama, jurang ekonomi antara orang Melayu miskin dan orang Melayu kaya semakin melebar.

UMNO akan terus mengulang retorik perpaduan Melayu untuk menyelamatkan diri tetapi orang melayu akan berpadu menolak kebobrokan parti itu, seterusnya nanti bersama-sama dengan rakyat Malaysia seluruhnya membina semula negara ini yang lebih bebas, adil dan bersatu.

 

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.