Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pemuda Harapan Mengalu-alukan Pas Rel Dan Bas Tanpa Had

Kabinet wajar menerima dan melaksanakan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk memperkenalkan pas “Rapid Rail”, pas “Integrated Rapid Bus” yang tanpa had bilangan perjalanan dan perkhidmatan KTM Komuter yang didiskaunkan.

Manfaat cadangan ini amat besar, bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan bermanfaat untuk alam sekitar.

Sudah menjadi matlamat kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam – memperkenalkan pas tanpa had dan tawaran diskaun akan menjadikan pilihan pengangkutan awam semakin menarik. Kaedah seperti ini sudah diamalkan di kebanyakan kota-kota maju.

Cadangan ini telah mula dibawa oleh Pemuda HARAPAN dalam manifesto Tawaran Harapan Anak Muda untuk Pilihan Raya Umum yang lalu.

Kami sedar bahawa kewangan negara tidak stabil dan kerajaan perlu bijak untuk berbelanja. Jika ada apa-apa yang berbaloi untuk dibelanjakan, ia adalah hal pengangkutan awam ini.

Selain itu, pelbagai usaha untuk meningkatkan kecekapan, jaringan, kelestarian alam sekitar dan sistem pengangkutan awam yang mesra pengguna mestilah diteruskan.

Kita boleh mengkategorikan pas masuk ke masa puncak dan masa luar puncak untuk meningkatkan penggunaan pada masa luar puncak yang sangat rendah berbanding penggunaan masa puncak.

Pelbagai pihak harus meningkatkan prestasi mereka, terutamanya jika cadangan ini diterima.

Rakyat Malaysia perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi keadaan ekonomi global yang mencabar pada masa hadapan.

Amatlah tepat untuk kerajaan merealisasikan impian rakyat –untuk membantu mengurangkan kos hidup-dengan menjadikan pengangkutan awam lebih murah, selamat dan boleh dipercayai.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA