Kaji selidik terkini Bank Negara berkenaan perihal perumahan di Malaysia amatlah merisaukan. Sekali lagi negara ini perlu menerima hakikat bahawa kita mempunyai masalah besar berkenaan kemampuan kita dalam sesuatu perkara asas seperti perumahan.
Menurut kajian itu, rumah di Malaysia adalah di tahap tidak mampu yang genting mengikut piawaian antarabangsa. Ini kerana harga rumah median di Malaysia adalah RM313,000 manakala harga rumah mampu milik maksima sepatutnya hanyalah RM282,000 dengan pendapatan isi rumah median RM5,228.
Bank Negara menggariskan beberapa faktor utama yang menyebabkan berlakunya hal ini iaitu; bekalan dan permintaan tidak sepadan, lebih banyak rumah dibina pada tahap tidak mampu, dan pendapatan isi rumah yang meningkat pada kadar yang lebih perlahan daripada harga rumah.
Bank Negara juga membangkitkan tentang masalah begitu banyak agensi perumahan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.
Pakatan Harapan seringkali mengingatkan kerajaan bahawa perkara ini harus ditangani dengan serius.
Semakin banyak keluarga yang tidak mampu memiliki rumah sendiri, dan generasi muda pula perlu bergelut dengan kenaikan kos hidup dan hutang yang banyak, apatah lagi untuk memiliki rumah sendiri.
Pada Pilihanraya Umum yang lalu, Kerajaan UMNO-Barisan Nasional menjanjikan sejuta rumah mampu milik dalam sepenggal, dan lima tahun kemudian kita nampak kesan yang sebaliknya, dengan lebih banyak rumah yang dibina pada harga lebih mahal.
Pentadbiran Najib Razak jelas telah gagal menunaikan janji, dan pada masa yang sama telah membenarkan kos sara hidup untuk meningkat, gaji mendatar dan anak muda sekarang semakin sukar untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang setimpal.
Tawaran Harapan Anak Muda oleh Pemuda HARAPAN kini menjanjikan pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam dua penggal dan kami tekad akan bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan ia menjadi kenyataan. Elemen sewa beli juga akan diperluaskan.
Kami juga menggariskan penghasilan kerja baru dan peningkatan gaji minima ke RM1,500.
Jika negara ini terus di jalan ini, percayalah majoriti rakyat di negara ini tidak akan mampu memiliki rumah sendiri dan ini bukanlah masa depan yang kita mahukan. Ini harus diubah, dan ia hanya akan boleh diubah sekiranya kita menukar Kerajaan Persekutuan sedia ada.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN