Angkatan Muda Keadilan ingin menzahirkan kekecewaan terhadap hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini, di atas tuduhan melanggar undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Tindakan menjatuhkan hukuman ke atas Rafizi, terutamanya apabila ia berkait dengan kes Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan 1MDB, memberi gambaran yang buruk terhadap negara ini, lebih-lebih lagi kerana kes 1MDB itu sendiri sudah menjadi buah mulut masyarakat global yang memandang ia sebagai satu kes rasuah yang besar.
Rafizi Ramli telah menggunakan maklumat yang diterima untuk melindungi mangsa-mangsa 1MDB dan memberi pendedahan kepada salahlaku yang berlaku secara terang-terangan dan terbukti memberi kesan yang buruk kepada kehidupan golongan pesara tentera.
Perkara ini boleh dinilai sendiri daripada kenyataan-kenyataan serta tindakan pihak LTAT, yang membuktikan dakwaan Rafizi ada kebenarannya. Malah bahagian laporan Ketua Audit Negara yang didedahkan itu juga memberi gambaran yang sama.
Ini baru satu kes yang berkait rasuah 1MDB daripada pelbagai lagi kes lain yang semakin banyak didedahkan di seluruh dunia. Kerajaan tidak boleh terus berselindung di atas alasan “rahsia”, dan terus memberi perlindungan kepada kleptokrat yang merompak negara.
Sudah masanya undang-undang seperti OSA ini dikaji semula kerana apa yang kita lihat sekarang adalah ia disalahgunakan untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak. Sepatutnya undang-undang digunakan untuk melindungi kepentingan rakyat, dan bukannya pentadbiran yang rakus.