Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Muafakat Bersejarah Pakatan Harapan Untuk PRU14

Saya percaya pengumuman pada hari ini di Konvensyen Pakatan Harapan, bahawa Dr Mahathir menjadi calon PM dan Dr Wan Azizah sebagai TPM untuk PRU14, dan Anwar Ibrahim sebagai PM seterusnya selepas proses perundangan selesai sebagai muafakat bersejarah.

Dalam Ucapan Dasar Kongres Angkatan Muda Keadilan tahun lepas saya berkata:

“Jika dulu kita mengatakan kepada Dr. Mahathir Mohamad bahawa tidak ada pemimpin wajar berkuasa penuh, maka kini kita berpeluang untuk menunjukkan kepada beliau bagaimana rundingan yang rumit tetapi berprinsip seharusnya berlaku sebelum kita mengambil keputusan bersama.”

Muafakat hari ini adalah keputusan bersama hasil rundingan yang rumit tetapi berprinsip tersebut.

Memang cukup emosi. Memang menuntut pengorbanan. Tetapi perjuangan akan senantiasa menuntut pengorbanan. Kehebatan Anwar, Kak Wan dan keluarga berlapang dada sukar dicontohi.

Tidak lupa sahabat-sahabat AMANAH yang memainkan peranan di dalam memberi laluan kepada parti-parti lain untuk membolehkan rundingan kerusi di Semenanjung selesai pada begitu awal.

Mari kita pulang ke kawasan masing-masing dan terus bekerja keras untuk kemenangan Pakatan Harapan. Rakyat mahu perubahan. Rakyat mahu pembelaan.