Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ucapan Pertama Ketua Pemuda Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad Konvensyen Pemuda Harapan 2018

1. Terima kasih kepada anda semua di atas kepercayaan terhadap saya. Memimpin Pemuda HARAPAN adalah tanggungjawab yang besar. Satu penghormatan untuk saya memimpin anak-anak muda terbaik dari pelbagai latarbelakang yang mewakili negara kita Malaysia.

2. Kita semua di sini – Pemuda AMANAH, Pemuda PPBM, DAPSY dan Angkatan Muda Keadilan – kerana kita cintakan negara kita. Ada di antara kita telah mengorbankan masa, tenaga, harta – malah kebebasan kita untuk perjuangan ini.

3. Kita di sini kerana kita tidak sanggup melihat rakyat dan negara kita terus menerus dicabuli. Kita di sini kerana kita tidak mahu impian generasi mendatang dicuri. Kita di sini kerana kita mahu membantu. Kita di sini kerana rakyat Malaysia sepatutnya memandang masa depan dengan harapan di hati, bukan ketakutan di sanubari.

PRU14 PENENTU MASA DEPAN MALAYSIA

4. Tanggunjawab ini besar. Kita mesti bersatu menjadi satu tenaga untuk mempertahankan tanah air kita dan membawanya ke depan. Semua mengatakan pilihan raya menentukan masa depan negara. Tetapi PRU14 pada 2018 merupakan pilihan raya terpenting dalam sejarah negara kita.

5. Malaysia tidak mampu lagi menanggung lima tahun Najib Razak, lima tahun UMNO dan lima tahun Barisan Nasional. Kita tidak mampu lagi lima tahun dasar ekonomi yang gagal. Kita tidak mampu lagi lima tahun anak muda tidak mendapat kerja. Kita tidak mampu lima tahun lagi tanah dan aset Bumiputera tergadai.

6. Kita tidak mampu lima tahun dasar pendidikan yang cacamerba. Kita tidak mampu lima tahun harga rumah terus melambung, pekerja tidak mendapat gaji yang adil, dan negara terus dibanjiri pekerja asing yang dieksploitasi.

7. Kita tidak mampu lima tahun lagi Malaysia menjadi bahan jenaka sedunia, yang mempunyai dasar luar yang tidak memperjuangkan apa-apa dan menggadaikan segala-galanya. Kita tidak mampu lima tahun lagi pemimpin menjual kepentingan negara demi survival politik mereka. Kita tidak mampu lima tahun lagi rasuah dan perkauman.

PERPADUAN MEMAINKAN PERANAN PENTING

8. Maka, kita harus mencurahkan segala usaha untuk memenangi PRU14. Tetapi ini tidak akan menjadi realiti sekiranya kita tidak bersatu-padu, jika kita tidak berdiri bersama-sama. Kita, Pemuda HARAPAN, adalah masa depan, maka kita mesti melakar jalan. Kita mesti menjadi jambatan antara parti-parti kita dan dengan rakyat Malaysia.

9. Khilaf dalam pendapat adalah perkara biasa. Saya lebih rela ada perbezaan pandangan yang jujur dan rasional daripada senyuman dan pelukan palsu. Tetapi jika kita hendak bergerak ke hadapan, kita mesti ada kesepakatan.

10. Saya tahu bekerjasama mencabar kerana kepelbagaian kita. Pakatan Harapan adalah ‘partnership of equals’, kita tidak mempunyai ‘Abang Long’ seperti Barisan Nasional. Namun begitu, kita semua tahu bahawa negara kita memerlukan halatuju yang baru. Kita tahu kita perlu kerajaan baru yang komited pada agenda perubahan. Ini sepatutnya menjadi panduan kita, yang membawa kita bersama dan memacu kita ke hadapan tidak kira apa jua rintangan yang ada.

11. Kita harus akur, perpecahan akan mengundang kekalahan untuk kita. Saya ulangi, perpecahan akan mengundang kekalahan. Kita akan kalah pilihan raya akan datang sekiranya pengundi merasakan kita lebih peduli tentang politik dalaman dan bukan menewaskan UMNO dan Barisan Nasional.
12. Realitinya mudah: Jika kita memberikan rakyat Malaysia sedikit sebab pun untuk tidak mengundi kita – mereka tidak akan mengundi kita. Hujah kita mesti mantap dan tidak boleh disangkal. Dan kita tidak boleh berbuat begini sekiranya kita tidak bersatu.

13. Lawan kita tahu ini satu-satunya cara mereka boleh mengalahkan kita. Kepada teman-teman di dalam PAS, kami menghormati sumbangan dan perjuangan anda. Tetapi sekiranya anda bukan sebahagian daripada penyelesaian, anda sebahagian daripada masalah. Dan satu-satunya penyelesaian untuk selamatkan Malaysia adalah sebuah kerajaan perubahan yang baru.

KITA MESTI BERIKAN HARAPAN

14. Namun tidak cukup untuk kita buktikan kepada rakyat, khususnya generasi muda, bahawa kita boleh bekerjasama untuk memenangi PRU14. Kita mesti tunjukkan kepada mereka bahawa parti-parti kita boleh membentuk kerajaan yang bersatu padu dan menyelesaikan masalah negara.

15. Tidak cukup kita menceritakan tentang skandal-skandal yang ada – meskipun kita mesti memperjuangkan agar keadilan dicapai dalam kes-kes ini. Tidak cukup untuk kita menjanjikan menjadi versi Barisan Nasional yang baik sedikit.

16. Rakyat perlukan lebih dari janji-janji semata-mata sebelum mereka mengundi kita. Kita tidak boleh mengambil mudah pengundi, terutamanya golongan muda. Mereka sebagai anak muda mempunyai keseluruhan hayat mereka untuk berhadapan kesan pilihan mereka. Ini bermakna mereka akan berfikir dengan berhati-hati sebelum mereka mengundi.

17. Dari hari ini ke hari mengundi, kita wajib bekerja keras untuk menggerakkan mereka yang menyokong kita, memenangi hati mereka yang kecewa dan meyakinkan mereka yang di atas pagar.

18. Saya tahu golongan ini: yang hampa, putus asa, ‘frust’, ada di luar sana. Saya tahu ada yang merasakan politik dan pemimpin tidak memenuhi idealisme mereka.

19. Tetapi saudara-saudari boleh melakukan perubahan. Ada pilihan yang jelas antara UMNO dan Barisan Nasional, golongan yang bersekongkol dengan mereka dan Pakatan Harapan serta yang menyokong perubahan. Kita tidak boleh membiarkan negara ini kepada pihak yang sedia ada mentadbir negara kita selama 60 tahun.

20. Rakyat mempunyai tanggungjawab bersama untuk memilih kerajaan yang terbaik untuk Malaysia. Tidak membuat pilihan sebenarnya memilih untuk Najib kekal berkuasa.

21. Hak mengundi bukan dinikmati semua orang di dunia ini, maka ketika kita mahu parti-parti yang ada memberikan yang terbaik, anda juga harus memainkan peranan turut serta dalam sistem demokrasi. Hak mengundi dimenangi di banyak negara, termasuk negara kita, di atas pengorbanan generasi sebelum ini. Saya tidak mahu kita berpaling daripada warisan berharga ini. Kita akan dihakimi oleh anak cucu kita, malah oleh Pencipta kita, di atas apa yang kita lakukan dan gagal lakukan. Pertimbangkan tindakan kita dengan berhati-hati.

22. Kami sedia mendengar. Marilah kita sama-sama menggalas tugas ini. Beri kami peluang untuk meyakinkan anda.

23. Kita harus ingat kata-kata Desmond Tutu: “Jika anda berkecuali dalam keadaan yang zalim, anda memilih bersama pihak yang zalim. Jika seekor gajah memijak ekor tikus, dan anda mengatakan anda berkecuali, tikus tidak akan menghargainya.”

24. Bolehkah sesiapa, sejujurnya, merasakan keadaan yang lebih baik boleh lahir daripada mengekalkan status quo? Tidak, sekarang adalah masanya.

25. Malaysia perlukan perubahan politik. Perubahan lain – ekonomi, pentadbiran, dan sosial, memerlukan perubahan politik. Kita mungkin tidak suka, tetapi ini adalah hakikatnya. Tidak ada gunanya berharap menjelang 2050 semuanya akan secara ajaibnya menjadi lebih baik. Jangan kita ambil risiko. Kita harus berubah, dan berubah sekarang.

26. Rasuah, kelaihan dan autoritarianisme bukanlah keadaan semulajadi Malaysia. Nilai-nilai ini tidak ada di dalam DNA kita. Dekad-dekad terakhir yang hilang ini bukan perjalanan semulajadi kita. Corak pemerintahan yang lesu dan jumud UMNO-Barisan Nasional bukan satu-satunya cara untuk mentadbir negara. Anda mempunyai pilihan sebenar dan pilihan itu sangat bermakna.

27. Bangsa Malaysia adalah bangsa yang yakin dan memandang ke depan – tidak takut dengan pemikiran baru tetapi yakin dengan jati diri mereka. Kita di persimpangan Asia, tempat di mana idea, orang ramai dan perdagangan bertemu. Kebebasan adalah hak kita, tetapi hanya sekiranya kita memilihnya.

28. Demokrasi memerlukan banyak pengorbanan, tetapi ia berbaloi. Saya tahu politik kadangkala tampak sukar, malah menjengkelkan. Tetapi alternatifnya jauh lebih teruk. Sebagaimana kata Winston Churchill: “…demokrasi adalah bentuk kerajaan yang paling teruk kecuali bentuk-bentuk lain yang telah dicuba dari masa ke semasa.” Tiada gunanya kita mengidolakan tirani-tirani yang ada di dunia: mereka akan tersungkur jua suatu hari nanti.

29. Jangan sekali-kali ragu bahawa demokrasi mampu mengangkat martabat insan. Tetapi ia hanya berfungsi sekiranya kita sanggup mengundi, menyertai parti politik, turut serta dalam wacana dan memastikan pemimpin kita bertanggungjawab. Ramai mengatakan demokrasi sedang surut di dunia hari ini, tetapi lihat tenaga anak muda menyokong tokoh-tokoh seperti Bernie Sanders, Jeremy Corbyn dan Emmanuel Macron malah Jokowi di negara tetangga kita Indonesia. Kita juga boleh menggembleng gerakan yang sama. Kita boleh membuka jalan ini.

30. Ekonomi kita mestilah inklusif, tetapi juga masyarakat kita. Kita mesti merobohkan dinding ketakutan dan syak wasangka yang menebal antara pelbagai kaum dan agama. Kita mesti memerangi prejudis di rumahtangga kita, di kejiranan kita dan tempat kerja kita.

31. Tidak ada seorang pun rakyat patut rasa terpinggir atau ditinggalkan. Tidak ada seorang pun patut merasakan negara ini bukan kampung halaman mereka. Kita lahir dalam keadaan berbeza-beza, tetapi di pandangan Tuhan dan undang-undang kita adalah sama. Komitmen kita terhadap negara kita, Perlembagaannya dan prinsip-prinsipnya sepatutnya mengatasi segala-galanya.

32. Akhir sekali, janganlah kita patah harapan. Zaman terhebat Malaysia di hadapan kita. Setiap generasi dicabar dan diseur kepada kehebatan. Masa kita adalah di sini, detik ini. Biarlah PRU14 menjadi hari dalam sejarah di mana anak-anak muda Malaysia bangkit untuk perubahan, keadilan dan masa depan yang lebih baik buat semua.

33. Marilah kita bersama. Pemuda HARAPAN bersedia menggalas harapan anda. Kami barisan baru. Kita mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa kita ada cara baru. Pemuda HARAPAN mesti memberi jaminan terhadap komitmen ini. Rakyat Malaysia berhak yang lebih baik.

34. Bagi semua sayap-sayap pemuda, ada beberapa perkara yang kita perlu perjuangkan untuk bawa perubahan ini. Bukan untuk dapatkan undi semata-mata, tetapi kerana ia penting untuk memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi muda kita.

35. Maka hari ini, saya mahu anda semua memberi komitmen terhadap pilihan ini: komitmen terhadap keadilan. Semua rintihan rakyat Malaysia hari ini berkaitan keinginan untuk keadilan ditegakkan. Semua punca masalah di negara kita adalah kerana ketidakadilan. Malaysia menjadi mangsa dan hilang halatuju kerana kita gagal melahirkan masyarakat yang lebih adil dan saksama.

36. Hanya dengan mengubah halatuju negara kita, Malaysia boleh diselamatkan. Alternatif yang diperlukan telah dibentangkan – lima teras Tawaran Harapan Anak Muda yang baru dilancarkan:

KERJA, GAJI DAN KEHIDUPAN YANG LAYAK

37. Memperkenalkan reformasi ekonomi agar rakyat Malaysia dapat mencari makan dan menyara diri mereka selayaknya adalah teras yang amat penting. Kita mesti memastikan anak muda mempunyai kemahiran sesuai untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dengan produktiviti yang lebih tinggi.

38. Pada Ogos 2017 dilaporkan 54,103 graduan menganggur enam bulan selepas mereka tamat belajar pada 2016, termasuk dalam bidang-bidang pentadbiran perniagaan, sains gunaan, pengurusan sumber manusia, perakaunan, sastera dan sains sosial. Malangnya bagi mereka yang ada kerja pun keadaan tidak baik mana. Pada 2016 upah median adalah RM1,703 manakala purata upah adalah RM2,463. Ini bermakna separuh mereka yang mendapat upah di Malaysia mempunyai pendapatan kurang RM1,703. Juga beza upah antara purata danmedia adalah RM760 atau 44.6 peratus lebih tinggi. Ini bermakna kesenjangan pendapatan masih wujud disebalik pelbagai dakwaan kerajaan.

39. Selain itu jurang upah bandar-luar bandar juga semakin meningkat, dengan peningkatan upah median di bandar pada 7.5 peratus sementara hanya 4.6 peratus di luar bandar. Jika tren ini berterusan, jurang bandar-luar bandar semakin berterusan.

40. Sekali lagi – siapa boleh mendakwa bahawa Kerajaan Pusat bertindak sewajarnya jika kita melihat angka-angka ini. Makmal Pemuda BN dan kini dialog TN50 tidak berhasil dengan penyelesaian. Ia gagal kerana mereka tidak menyelesaikan masalah pokok yang dihadapi negara kita: tatakelola yang lemah dan ‘gutter politics’ yang kotor.

41. Mari kita mereformasikan ekonomi kita sepenuhnya. Mari kita bersedia untuk Industri Revolusi Keempat: globalisasi, automasi dan digitalisasi. Mari kita memastikan kerja keras dan semangat keusahawanan membuahkan hasil – ‘know how’ bukan ‘know who’. Pakatan boleh buat yang lebih baik.

MENGURANGKAN KOS SARA HIDUP, MEMPERBAIKI KUALITI HIDUP

42. Isu kos sara hidup adalah isu penting untuk kita selesaikan. Inilah masalah terbesar yang dihadapi rakyat biasa. Sama ada tol, elektrik atau perumahan, semuanya naik belaka. Ini adalah masalah yang benar-benar menekan. Anak-anak muda sengsara. Jangan kita lupa kajian HSBC baru-baru ini yang mendapati 57 peratus ibu bapa dengan anak-anak umur 18 ke atas masih menyara anak-anak mereka dari segi kewangan, termasuk 41 peratus yang terpaksa membantu anak-anak mereka untuk perbelanjaan harian seperti bil-bil dan pembelian runcit.

43. Maka bagaimana kita boleh mendabik dada mengatakan ekonomi kita cemerlang bila berhadapan angka-angka ini. Ya, mungkin ekonomi kita mencatatkan pertumbuhan, tetapi ia bukan pertumbuhan yang inklusif, yang menitis sampai ke rakyat biasa. Yang kaya makin kaya dan yang miskin dipijak-pijak untuk memperkayakan golongan kaya. Pakatan boleh buat yang lebih baik.

PERUMAHAN YANG SELESA DAN MAMPU MILIK

44. Ekonomi yang membangun adalah berdasarkan rakyat ramai yang memiliki kediaman sendiri. Bagi majoriti rakyat, inilah pelaburan terbesar dalam kehidupan mereka. Tinggal di rumah sendiri, dengan kebolehan menurunkannya kepada generasi akan datang adalah hak yang paling asas.

45. Laporan Bank Negara menyatakan bahawa jumlah rumah tidak terjual berada pada peratusan tertinggi dalam tempoh sepuluh tahun. Masalah ini sebahagian besarnya kerana wujud perbezaan antara harga rumah dan kemampuan rakyat. Antara 2016 hingga suku pertama 2017, hanya 21 peratus rumah yang baru dilancarkan berharga bawah RM250,000 sedangkan yang mampu pada kadar 35 peratus di seluruh negara.

46. Isu membeli rumah isu besar bagi anak muda di Malaysia. Kadar peningkatan gaji dan upah perlahan berbanding peningkatan mendadak harga hartanah terutamanya di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu.

47. Impian untuk memiliki hartanah seperti kebanyakan ibu bapa mereka menjadi semakin pudar. Ada yang mengatakan kita patut terus menyewa. Tetapi untuk rumah yang didiami, ramai yang merasakan lebih terjamin dengan memiliki rumah tersebut termasuk untuk masa depan keluarga mereka.

48. Kerajaan UMNO-Barisan Nasional menjanjikan untuk membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2018 dalam Manifesto Pilihan Raya 2013 mereka. 500,000 daripada rumah-rumah ini sepatutnya dibina oleh PR1MA.

49. Namun setakat 15 November 2017, PR1MA mengatakan mereka hanya mampu menjual 12,640 unit rumah berbanding 141,661 unit yang dalam pelbagai peringkat pembinaan. Cakap-cakap bahawa Rumah PR1MA ini hanya mampu tengok, bukan mampu milik menjadi bualan rakyat hingga dibangkitkan perwakilan Puteri UMNO.

50. Justeru penyelesaian seperti memperbaiki akses pinjaman, reformasi PTPTN yang menjadi punca majoriti kegagalan perolehan pinjaman, pembinaan rumah mampu milik yang benar-benar mampu milik dan komprehensif, pengembangan skim sewa-beli dan pengambilalihan penyelenggaraan perumahan kos rendah antara perubahan yang kami yakin mampu menjadikan pemilikan rumah yang selesa dan mampu milik satu realiti untuk rakyat.

PENDIDIKAN PERCUMA DAN BERKUALITI

51. Pekerja-pekerja kita perlu lebih kemahiran dan produktiviti. Perubahan ini pada asasnya dapat dibuat dengan reformasi sistem pendidikan kita.

52. Kegagalan berbuat demikian telah menyebabkan ramai bakat muda kita hilang ke negara luar. Kita membelanjakan kira-kira 20 peratus belanjawan kita untuk pendidikan tetapi pada 2015 kita hanya pada separuh paling corot negara yang turut serta di dalam Trends in International Mathematics and Science Study.

53. Jangan kita ambil mudah dengan menyalahkan pelajar dan graduan-graduan muda. Ya, adakalanya anak-anak muda terlalu memilih dan tidak pasti halatuju mereka. Tetapi jangan kita lupa mereka adalah mangsa sistem pendidikan yang dicengkam di bawah Kerajaan Pusat UMNO-Barisan Nasional.

54. Kita perlu bebaskan guru-guru kita daripada bebanan tugas yang melampau dan membolehkan mereka fokus kepada peranan utama mereka: mendidik generasi masa depan negara. Universiti-universiti harus dibebaskan daripada campurtangan politik dan siswa-siswi ada ruang untuk berfikir secara kritis. AUKU wajib dimansuhkan.

55. Pemuda HARAPAN akan tetap memperjuangkan kepentingan pendemokrasian akses pendidikan di semua peringkat, termasuk menjadikan IPTA percuma dan dibekalkan dengan geran sara hidup untuk pelajar yang memerlukan. Bagi peminjam PTPTN yang sedia ada, kita mahu membebaskan mereka dari cengkaman hutang dan menuntut pembayaran semula hanya pada tahap gaji yang lebih selesa iaitu RM4,000 sebulan.

56. Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan diberikan penekanan bagi membolehkan kemahiran dan produktiviti anak-anak muda kita dipertingkatkan dan kita boleh bersaing dengan negara-negara yang lebih maju. Kita akan melihat model ‘dual vocational’ Kerajaan Pulau Pinang dan IKTISASS Kerajaan Selangor sebagai model di peringkat nasional nanti.

SUKAN, REKREASI DAN KESEIMBANGAN KEHIDUPAN-KERJA
57. Anak muda yang seimbang bukan hanya perlu pembelaan dari sudut politik dan ekonomi, tetapi juga dari sudut sosial terutamanya sukan dan rekreasi.

58. Sebagai penyokong Liverpool, saya sentiasa yakin ‘This is our year’. Maka seluruh peminat Liga Perdana Inggeris sewajarnya boleh melihat kegemilangan kami bukan hanya di Astro atau kedai mamak, tetapi di televisyen biasa dengan percuma. Maka hak penyiaran liga-liga sukan utama dunia sewajarnya dibuka kepada rangkaian percuma.

59. Kita mahu lebih banyak kawasan-kawasan rekreasi percuma didirikan di seluruh negara. Aktiviti sukan dan riadah sewajarnya menjadi semurah mungkin untuk semua generasi muda. Laluan-laluan basikal juga sewajarnya diperluaskan diseluruh negara manakalla litar-litar lumba juga dikembangkan untuk membolehkan anak muda menceburi sukan motosikal dengan selamat.

PENUTUP

60. Marilah kita bergerak sebagai satu pasukan. Ya, ideologi penting, tetapi ia mesti digandingkan dengan tumpuan untuk menang dan menjana perubahan. Kita hanya boleh ditewaskan oleh diri kita sendiri. Kita tidak boleh mengelak dari isu-isu yang sukar. Mari kita mula perbincangan antara kita. Dan yang paling penting kita mesti mendengar: diri kita sendiri, tetapi juga rakyat Malaysia.

61. Hakikatnya ahli politik tidak ada jawapan kepada semua masalah. Saya tahu orang ramai sering mencari jawapan daripada kita, tetapi seringkali, jawapan terbaik terletak kepada hikmah bersama atau ‘collective wisdom’ rakyat.

62. Sampai kita kepada penutup ucapan saya. Saya mahu menamatkannya dengan berkata beberapa perkara kepada generasi muda Malaysia. Kami bersedia mendengar daripada anda. Apa perkara yang penting? Apa yang diperlukan tanah air kita? Bagaimana anda rasa kita boleh mencapai cita-cita ini? Apakah harapan dan impian masa depan anda? Kami perlukan pandangan anda, tenaga anda dan semangat anda. Jangan berdiri di luar gelanggang.

63. Kepada wanita-wanita muda Malaysia. Kepada adik kakak, isteri, ibu, anak perempuan – dan yang terpenting, saudari-saudari warganegara Malaysia: anda bukan sahaja tonggak negara ini tetapi keluarga kami, rumahtangga kami, syarikat-syarikat kami, sekolah-sekolah kami, university-universiti kami, kedai-kedai kami, kilang-kilang kami – keseluruhan masyarakat. Kami akan berjuang untuk anda. Kami akan memastikan hak anda terpelihara. Kami akan berjuang bersama anda. Bersama-sama, kita boleh memecahkan siling kaca.

64. Kepada saudara-saudara kami di Sabah dan Sarawak, kami menyokong sepenuhnya usaha mengembalikan hak yang dijanjikan oleh bapa-bapa kemerdekaan kita pada 1963. Kami akan memelihara kepentingan, termasuk Hak Tanah Adat. Kami akan mengembalikan autonomi. Kami akan mengembalikan pekerjaan ke Sabah dan Sarawak. Marilah kita kembalikan Malaysia menjadi Persekutuan sebagaimana diidamkan generasi terdahulu. Agar negara kita, sebagaimana disebut oleh Tunku Abdul Rahman “akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.”

65. Saya kembali ke generasi muda Malaysia: saya tahu tahun-tahun terakhir ini mencabar. Saya tahu ramai yang resah tentang masa depan. Tetapi jangan putus cinta dengan Malaysia dan jangan putus asa untuk memastikan suara anda didengari.

66. Tetapi ini semua berpunca dari rasa sayang – untuk rakyat kita, negara kita, parti kita dan pakatan kita. Apa yang kita lakukan, harus disandarkan rasa sayang untuk Malaysia. Seperti apa yang diungkapkan filem Star Wars yang terbaru: kita tidak akan menang dengan melawan apa yang kita benci tetapi dengan menyelamatkan apa yang kita sayang. Hari-hari mendatang sememangnya mencabar, tetapi dengan keberanian tiada halangan yang tidak boleh diatasi. Mari kita berdiri bersama-sama untuk tanah air kita.

67. Masanya telah tiba! Mari kita berganding tangan dan bekerja keras. Masa depan adalah untuk kita menangi. Terima kasih.

*Gambar the Malaysian Insight.