Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Saya berdiri bersama komuniti yang berjuang untuk Bukit Dinding

Saya mengucapkan syabas kepada komuniti tempatan di Setiawangsa dan Wangsa Maju kerana telah menggerakkan kira-kira 8,400 penduduk bagi menentang cadangan pembangunan kondominium di Bukit Dinding.

Pihak berkuasa mesti menyiasat secara saksama dan teliti mengenai beberapa laporan polis yang dibuat oleh penduduk berhubung kenyataan palsu mengenai sebahagian besar penduduk di Seksyen 5 Wangsa Maju yang dikatakan bersetuju dengan projek tersebut.

Bukit Dinding lebih daripada sekadar kawasan rekreasi – ia adalah ciri geologi utama dengan beribu-ribu orang yang tinggal di sekitarnya.

DBKL pada tahun 2014 telah mengisytiharkan bahawa bukit itu “berisiko tinggi” untuk mengalami tanah runtuh. Malah, dilaporkan terdapat insiden besar pada tahun 2012 dan juga insiden kecil sepanjang tahun, termasuk pada tahun 2021.

Mengekalkan kestabilan cerun Bukit Dinding – dan seterusnya keselamatan penduduk – mestilah dititikberatkan dan menjadi satu-satunya keutamaan.

Saya telah secara konsisten memperjuangkan kepentingan para pengundi saya di Setiawangsa dalam hal ini, termasuk menyertai mereka untuk mendesak dokumen penting mengenai kesan projek itu untuk dikongsi oleh pihak berkuasa seperti DBKL.

Pakar runding teknikal sepatutnya dilantik oleh pihak berkuasa, bukannya pemaju sebagaimana amalan di Kuala Lumpur pada hari ini. Ini akan memastikan kebebasan mereka.

Penduduk Setiawangsa dan Wangsa Maju mempunyai hak untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada kawasan kejiranan mereka memandangkan ia boleh memberi kesan kepada kehidupan mereka sendiri.

Isu Bukit Dinding juga merupakan petanda bahawa dasar alam sekitar Malaysia seharusnya mengikuti perkembangan zaman.

Kebiasaannya, keputusan penting yang mempengaruhi alam sekitar – terutamanya di sekitar Kuala Lumpur, sering dipusatkan kepada kerajaan Persekutuan, serta agensi-agensi atau badan-badannya yang berkaitan, dengan sedikit pengawasan atau akauntabiliti bebas.

Seringkali pengajaran penting itu disedari hanya apabila sudah terlambat.

Pengundi Setiawangsa dan tempat lain adalah berhak untuk menganggap Bukit Dinding dan persoalan alam sekitar yang lainnya sebagai isu utama dalam PRU15.

NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA 2018-2022

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.