Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Khairy harus sedar masalah anak muda hari ini disebabkan Najib dan BN

Saya tertarik membaca ulasan Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tentang kepentingan parti-parti komponen BN untuk mengambil berat perihal pengundi baru dan anak muda.

Memang betul pandangannya bahawa pengundi baru mempunyai peranan yang penting pada Pilihanraya akan datang.

Laporan berita melaporkan Khairy telah menyarankan BN untuk memahami kebimbangan pengundi muda tentang kos kehidupan serta inflasi.

Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan mereka masih belum membuat keputusan untuk mengundi parti yang mana dan tidak mempunyai kesetiaan kepada mana-mana parti politik.

Baguslah Khairy memahami kepentingan anak muda.

Kebimbangan ini harus ditangani, bukan untuk meraih undi, tetapi kerana ia juga penting untuk masa depan negara.

Khairy juga perlu sedar bahawa kebanyakan masalah yang dihadapi anak muda kita pada masa ini adalah disebabkan oleh dasar pentadbiran UMNO-BN dibawah Perdana Menteri Najib Razak.

Ini termasuklah tekanan hutang yang disebabkan oleh sistem pinjaman PTPTN, dan polisi bercanggah dan tidak keruan tentang perumahan, utiliti dan perkhidmatan awam.

Ekonomi ini juga tidak disediakan untuk menghasilkan pekerjaan yang membayar gaji yang baik dan boleh bertahan terhadap tekanan globalisasi dan automasi.

Dalam pada itu, pentadbiran ini juga bagaikan tiada kemahuan untuk merombahk sistem pendidikan Malaysia dengan menyingkir kawalan bermotif politik yang telah ditekankan kepada pelajar, ahli akademik dan pentadbir. Pemotongan terus dibuat terhadap sektor pendidikan.

Pemimpin BN seringkali mengenepikan masalah-masalah rakyat dan keluhan anak muda.

Sebagai seorang ahli kabinet yang sepatutnya mempunyai tanggungjawab bersama, Khairy tidak boleh hanya menidakkan bahawa beliau menyokong polisi serta proses yang membuatkan kehidupan semakin sukar serta tidak menentu untuk ramai rakyat Malaysia terutama golongan muda.

Jika benar beliau tidak menyokong, maka beliau sepatutnya sudah lama letak jawatan.

Dengan terus kekal di dalam kabinet, ia menunjukkan bahawa beliau menyokong serta mempertahankan hala tuju negara yang ditentukan oleh Kerajaan BN, walaupun ia jelas tidak baik untuk masa depan negara.

Beliau sepatutnya tidak harus hanya fokus kepada kepentingan politik satu pihak, tetapi menunjukkan kepimpinan yang sebenar dan tulus untuk mendepankan polisi yang melangkaui politik untuk menjamin masa depan Malaysia.