Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Isu Pemuda: Saranan Nur Jazlan dan Khairy harus dipandang serius oleh UMNO

Saya menyambut baik saranan Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed bagi menetapkan had umur 40 untuk Ketua Pemuda UMNO.

Menurut satu laporan Malaysian Insider pada 17 Ogos 2014, usul ini dibuat bagi menarik lebih ramai golongan muda terhadap Pemuda UMNO.

Ini diikuti dengan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mencadangkan supaya pada Pilihanraya Umum yang akan datang, 30 peratus calon adalah mereka yang berumur 40 tahun dan kebawah.

Kesemua cadangan ini perlu diberikan pertimbangan yang serius oleh pimpinan UMNO.

Kadang-kala, umur hanyalah sekadar angka dan pengalaman tidak boleh dipandang rendah, namun hakikat bahawa generasi muda lebih tertarik dan lebih terkesan apabila dipimpin oleh mereka sendiri.

Bagi KEADILAN, kami telah menetapkan kesemua anggota Angkatan Muda KEADILAN adalah berumur sehingga 35 tahun sahaja. Ini juga sama dengan had umur Pemuda Sosialis DAP.

Dalam pada masa yang sama, KEADILAN dan Pakatan Rakyat tidak pernah mengenepikan anak muda untuk diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya mahupun jawatan dalam parti.

Ia merupakan satu langkah yang bagus apabila akhirnya UMNO menyedari kepentingan anak muda di Malaysia – walaupun agak terlambat.

Walaupun penetapan had umur adalah urusan UMNO, saya dengan rendah diri ingin mengatakan bahawa 40 tahun adalah agak tua. Majlis Belia Malaysia pernah meminta umur belia diturunkan daripada 40 tahun, sementara definisi PBB meletakkan umur belia pada 15-24 tahun.

Bagi sesiapa pun anak muda di dunia ini, perbezaan beberapa tahun boleh menjadi penentu dari segi nilai, matlamat dan pandangan.

Sudah pasti agak sukar untuk katakan, seorang yang berusia lingkungan 38-40tahun benar-benar memahami pemikiran mereka yang berumur lingkungan 20-25tahun.

Ini sesuatu yang perlu pemimpin mengambil kira – bukan hanya dalam poltik.
Sebelum ini, sudah terlalu banyak organisasi untuk anak muda dipimpin oleh mereka yang lebih tua.

Selain itu, terdapat banyak dakwaan pengurusan yang salah dan berpuak-puak dalam organisasi ini.

Hampir tiada sebarang tindakan yang telah dilakukan- sekurang-kurangnya berdasarkan apa yang telah dikatakan awam- untuk memperbaiki keadaan ini.

Walaupun baru-baru ini Khairy dilihat sering terlibat dengan program-program yang berkait dengan sukan, harus diingatkan jawatan beliau adalah “Menteri Belia dan Sukan.”

Oleh itu, beliau hendaklah juga berusaha memperbaiki dan membawa perubahan dalam separuh lagi portfolionya.

Terdapat beberapa organisasi di Malaysia hari ini yang benar-benar membawa anak-anak muda bersama-sama serta memenuhi keperluan mereka.

Jikalau beliau tidak mampu berbuat demikian – pemimpin UMNO seperti Nur Jazlan- perlu menjelaskan kenapa parti mereka tidak mampu lagi untuk menyokong beliau dalam hal ini.

Namun, apa yang dikatakan dan dilakukan hanyalah sia-sia berdasarkan hakikat bahawa pelajar Malaysia –di dalam dan luar negara- yang menunjukkan minat dalam hal ehwal awam dan kebebasan dalam pemikiran masih tertakluk kepada gangguan dan fitnah.

Anak muda Malaysia berhak mendapatkan lebih dari sekadar omongan kosong dan perubahan yang tidak holistik.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.