Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MARA : Kekalkan peruntukan, hentikan ketirisan

Merujuk kepada kenyataan Khairy Jamaluddin, saya ingin menyatakan bahawa masalah MARA pada masa ini adalah hala tuju dan kepimpinannya. Niat asal penubuhan MARA sebagai sebuah institusi yang akan mempertingkatkan status Bumiputera telah menyimpang.

Sekarang ini, dana MARA juga digunakan untuk projek-projek yang tidak patut seperti pembelian hartanah di Australia yang menyebabkan kerugian besar.

Ramai yang mengadu sekarang ini bahawa mereka tidak menerima pembiayaan walaupun telah menepati segala pra-syarat, kerana pihak MARA sendiri mengaku bahawa mereka tidak mempunyai wang. Sama juga untuk pelajar yang sudah tidak mendapat pembiayaan MARA.

Seperti yang saya nyatakan, sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan, MARA akan terus wujud dan dipulihkan semula untuk memastikan operasinya adalah konsisten dengan matlamatnya.

Sebagai permulaan, MARA haruslah menyelesaikan isu ketirisan yang semakin parah. Kita tidak boleh bercakap mengenai penubuhan UniMara atau melabur di dalam hartanah jika institusi tersebut terus disalahguna oleh individu korup yang mengambil kesempatan daripada sistem yang sedia ada.<

Ketelusan juga amatlah penting. MARA merupakan institusi akar umbi maka penglibatan komuniti adalah mustahak. Pada masa ini, pendekatan MARA adalah terlalu berpaksi kepada golongan atasan, dan ia mudah dipolitikkan kerana ia diterajui oleh golongan yang mempunyai hubungan akrab dengan ahli politik atasan. Rakyat mestilah terlibat di dalam perancangan dan proses membuat keputusan pihak MARA.

Kita juga akan memastikan perbelanjaan pendidikan oleh MARA dikhususkan dan dilindungi. Pendidikan adalah penting untuk pembangunan masyarakat Bumiputera yang berkualiti dan mampan, oleh itu ia tidak boleh dikorbankan semata-mata untuk menutup kepincangan kewangan di sektor yang lain.

Saya percaya jika perkara-perkara ini ditangani dahulu, kita boleh mula membangkitkan semula MARA dan terus memperkasakan status ekonomi golongan Bumiputera.