Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Simpati Buat Pekerja-Pekerja Utusan

Saya ingin menyuarakan rasa simpati dengan nasib yang menimpa para pekerja Utusan apabila syarikat akhbar itu memutuskan untuk menghentikan operasinya.

Membaca beberapa laporan akhbar, saya melihat kebanyakan pekerja yang terpaksa berhenti masih tertanya-tanya akan nasib dan masa hadapan mereka. Hala tuju dan strategi Utusan perlu lebih baik selepas mendapat pemilik baru, jika tidak hal yang sama akan berlaku.

Industri media, terutamanya bahagian pencetakan sedang mengalami masa-masa yang sukar terutamanya pada era digital. Sudah ada beberapa akhbar di Malaysia menghentikan pengeluaran akhbar bercetak, termasuk akhbar berbahasa Inggeris menghentikan pengeluaran akhbar bercetak pada hujung tahun lepas.

Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh saudara Mohd Taufek Razak yang merupakan Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan tentang kesilapan Utusan terlalu bergantung pada UMNO.

Sejarah Utusan cukup dekat dengan nasionalisme dan perjuangan Kemerdekaan. Ia diasaskan oleh Yusof Ishak, yang kemudian menjadi Presiden Singapura yang pertama dan Abdul Rahim Kajai, bapa kewartawanan Melayu. Sasterawan Negara Usman Awang dan wartawan kanan A Samad Ismail juga pernah bertugas di Utusan. Utusan ketika itu tetap menjadi suara bebas yang berani mengkritik semua pihak termasuk pimpinan UMNO.

Apabila Utusan hendak diambil alih oleh UMNO pada 1963, Said Zahari yang merupakan Ketua Pengarang Utusan Melayu mengetuai mogok menentangnya. Beliau kemudian ditahan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dibawah Operation Coldstore di bawah ISA selama 17 tahun.

Kemudian, Utusan sering menjadi mangsa keadaan apabila akibat digunakan oleh UMNO terhadap parti pembangkang ketika itu, termasuk PAS, mereka kalah saman berkali-kali di mahkamah atau terpaksa meminta maaf yang bukan sahaja merugikan mereka tetapi menjejaskan reputasi mereka.

Semua parti pada hari ini – kerajaan atau pembangkang – harus belajar untuk tidak menunggang media seperti ini. Setiap media bebas mengambil pendirian mereka, tetapi tidak boleh memfitnah atau digunakan untuk memfitnah.

Semoga semua individu yang terkesan akibat penghentian operasi Utusan ini akan dipanggil semula bekerja atau menemui pekerjaan baru. Saya mengerti ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk tiba-tiba kehilangan punca pendapatan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA