Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tunjuk perasaan di hadapan gereja dedah dwi-standard KPN

Saya mengecam sekeras-kerasnya kejadian di Taman Medan baru-baru ini, di mana sekumpulan penunjuk perasaan telah memaksa sebuah gereja untuk menurunkan lambang salib daripada bangungan tersebut.

Saya ambil perhatian penerangan pihak MBPJ berkenaan isu permit gereja tersebut. Namun begitu ia tidak patut mewajarkan tindakan penunjuk perasaan yang telah bertindak sewenang-wenangnya sedangkan sebarang masalah sepatutnya dihadapkan dahulu kepada pihak berkuasa.

Lagipun tunjuk perasaan itu pada zahirnya telah dilakukan di atas alasan keagamaan kerana pada masa itu tidak seorang pun antara mereka yang mempersoalkan sama ada premis tersebut adalah sah digunakan.

Perlu diingatkan di sini bahawa setiap orang berhak mengamalkan agama masing-masing dengan aman, dan ini adalah hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana dengan memaparkan lambang salib tersebut, ia boleh menghakis kepercayaan atau keimanan seseorang individu – sama ada Muslim ataupun tidak.

Setiap individu yang menunjuk perasaan tempoh hari perlu benar-benar cermin diri dan kepercayaan masing-masing jika mereka rasakan sesuatu yang begitu remeh boleh mencabar kepercayaan mereka kepada agama Islam.

Tindak laku mereka sangat memalukan umat Islam di seluruh dunia.

Apa yang lebih mengecewakan adalah sikap Ketua Polis Negara yang bersahaja dalam hal ini, dan dengan mudah beliau menolak perlunya penyiasatan ke atas kes ini.

Bukankah menunjuk perasaan di kawasan berdekatan tempat ibadat merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman? (Jadual Pertama, Seksyen 3 – Tempat Larangan)

Pada masa yang sama, oleh kerana keluarga Ketua Polis Negara sendiri terlibat dengan penunjuk tersebut, dia sepatutnya mengundurkan diri daripada sebarang penglibatan di dalam kes ini dan membiarkan ianya disiasat oleh pegawai yang lain.

Ia amatlah menghampakan apabila kedaulatan undang-undang dan juga perlindungan yang sama rata di bawah undang-undang tidak dipraktik secara adil di Malaysia pada masa kini.