Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkenaan #KitaLawan hanyalah satu taktik untuk mengalih perhatian daripada apa yang sedang berlaku di dalam UMNO.
Jelas sekarang ini rakyat masih tidak berpuas hati dengan tadbir urus kerajaan BN di dalam pelbagai isu seperti 1MDB dan GST, dan mereka sendiri sedar akan perkara ini. Jika tidak mengapa perlu Anwar Ibrahim dipenjarakan? Jika tidak mengapa pula Najib Razak rasa perlu untuk mengadakan wawancara di TV3?
Perlu diingatkan di sini bahawa gerakan Reformasi pada tahun 1998 merupakan satu gerakan spontan yang lahir daripada kemarahan rakyat terhadap kekejaman BN terhadap Anwar. Situasi pada masa itu berbeza terutamanya kerana pada waktu itu rakyat tidak mempunyai barisan kempimpinan alternatif yang boleh seperti pimpinan Pakatan Rakyat sekarang ini. Kebangkitan kali ini juga melibatkan rakyat pelbagai kaum, bukan hanya golongan Melayu seperti dahulu.
Apatah lagi, kerajaan BN yang sedia ada sering menakut-nakutkan rakyat dengan tindakan undang-undang yang kejam. Malah penangkapan dan soal siasat tanpa asas yang kukuh oleh pihak polis terhadap lebih daripada 150 orang ahli politik Pakatan Rakyat dan aktivis jelas membuktikan kerakusan dan penindasan rejim BN.
Walaupun diugut dengan tindakan undang-undang, rakyat tetap gigih menyuarakan pendapat melalui media sosial dan suara rakyat semakin jelas didengari dari hari ke hari. Oleh itu Khairy dan BN tidak patut memandang remeh terhadap perkara ini.
Khairy juga harus ingat bahawa majoriti rakyat tidak mengundi BN pada Pilihanraya Umum ke-13 dan Pakatan Rakyat juga telah memperoleh kerusi terbanyak di dalam sejarah Malaysia bagi pimpinan alternatif diperingkat persekutuan dan negeri, oleh itu beliau harus menerima hakikat bahawa kerajaan di bawah pimpinan Najib sudah lama ditolak oleh rakyat.
Saya sarankan Khairy dan BN cermin diri dahulu untuk menyelesaikan masalah negara dan bukan bermain sandiwara politik untuk menunjukkan siapa lebih hebat menyokong Najib. Sepatutnya sokongan padu itu diberikan kepada rakyat yang tertindas.