Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mengapa UMNO dan NGO-NGO mereka diam membisu dalam isu penswastaan UiTM?

Pendedahan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengenai penswastaan UiTM melalui sistem konsesi yang menguntungkan kroni, dilihat merukan satu masalah yang akan merugikan rakyat khususnya Bumiputera. Ini kerana UiTM merupakan salah satu institusi kebanggaan Bumiputera selama ini.

Meskipun kos pembinaan 6 kampus UiTM yang telibat di dalam skim ini sekitar RM1.8 bilion, tetapi rakyat menerusi Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar RM8.6 bilion sebagai sewa untuk tempoh 23 tahun.

Mengapakah pimpinan UMNO yang kononnya pejuang Melayu menerima konsesi-konsesi mewah dalam pembikinan UiTM? Ke manakah suara-suara lantang dari NGO-NGO perkakas UMNO seperti ISMA, JATI dan Perkasa yang selama ini mendabik dada dengan bangga mengatakan bahawa mereka adalah pembela hak kaum Melayu apabila pendedahan ini dibuat? Walhal, sudah terang dan nyata bahawa penswastaan UiTM ini nanti akan membebankan rakyat. Adakah masing-masing menjadi bisu hanya kerana syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai pemegang konsesi adalah dari kalangan kroni mereka sendiri?

Sejak penubuhan UiTM itu sendiri, mereka sentiasa menyifatkan istitusi itu merupakan sebuah institusi yang ingin membantu bumiputera. Ini kerana UiTM menawarkan yuran pengajian yang agak rendah berbanding institut pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

Jelas dapat dilihat dengan perjanjian konsesi selama 23 tahun ini nanti, sudah pasti kesannya akan membebankan rakyat. Adakah kerajaan sendiri lupa akan idea penubuhan UiTM itu sendiri? Dengan pelaksanaan konsesi UiTM ini nanti, tidak mustahil yuran pengajian mahupun yuran-yuran lain di UiTM ini nanti akan dinaikkan. Sudah pasti kesan ini akan dirasai oleh pelajar. Ini jelas sekali bercanggah dengan idea penubuhan UiTM yang ingin membantu Bumiputera.

Tidakkah pembela dan pejuang Melayu ini memandang serius kepada masalah ini? Adakah kerana ia memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu, maka mereka membatukan diri? Jangan kerana keuntungan sebelah pihak, maka mereka menafikan hak pihak rakyat yang ramai. Bak kata pepatah Melayu, “menang sorak, kampung tergadai”.