Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kenyataan Mengenai Pengekalan Jawatan Dr Wan Azizah

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden parti kita, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang baru mengekalkan jawatannya.

Walaupun kita semua mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Presiden, namun keadaan tidak mengizinkan akibat keputusan Mahkamah Rayuan yang berat sebelah meninggalkan parti kita dengan hanya satu pilihan iaitu untuk mengekalkan kepimpinan Dr Wan Azizah.

Walaupun situasi hari ini tidak menyebelahi kita namun kita bersyukur bahawa parti akan terus dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa. Beliau telah memimpin parti ini sejak penubuhan parti 15 tahun yang lalu dan parti telah berkembang menjadi lebih kuat dan memperolehi pelbagai pencapaian sebagai sebuah parti progressif yang unik kerana identitinya yang berbilang kaum. Ramai wanita dan pimpinan muda telah diberikan peluang memainkan peranan penting dalam KEADILAN.

Saya menyeru semua anggota parti untuk bersama-sama mengukuhkan pimpinan Dr. Wan Azizah dan mengundi dengan bijak pada pemilihan parti yang akan bermula pada hujung minggu ini. Setiap undi adalah penting dan saya berharap agar kita akan memilih pasukan yang terbaik untuk memimpin parti di masa hadapan.