Setahun telah berlalu sejak Pilihan Raya Umum ke-13 yang bersejarah. Di sebalik pelbagai halangan dan tekanan yang dihadapi Pakatan Rakyat, Pakatan mendapat hampir 51 peratus undi popular. Namun akibat persempadanan yang tidak adil, Pakatan hanya mendapat 40 peratus kerusi-kerusi Parlimen.
Perjuangan menuntut perubahan di Malaysia mestilah diteruskan. Kita mesti belajar daripada sejarah bahawa kekuatan Pakatan muncul apabila KEADILAN, PAS dan DAP menumpukan untuk bekerjasama antara satu sama lain dan berada di jalur tengah politik.
Kita mesti terus fokus pada isu kesenjangan ekonomi, yang akan menjadi semakin lebar dengan pengenalan GST dan penarikan balik subsidi untuk rakyat; salah urus ekonomi; kronisme dan rasuah yang berleluasa; peningkatan kadar jenayah dan pencabulan hak asasi. Ini termasuk tekanan berterusan terhadap pimpinan Pakatan yang mana contoh utamanya ialah kes Anwar Ibrahim. Pada masa yang sama, kita mestilah sensitif di dalam berurusan dengan masyarakat Malaysia yang majmuk dan kompleks.
Kerajaan-kerajaan negeri kita mestilah terus membawa semangat reformasi yang menjadi identiti Pakatan dan menarik sokongan majoriti rakyat Malaysia. Kita tidak boleh sekali-kali menjadi hanya versi negeri BN yang lebih baik – sebaliknya negeri-negeri Pakatan mestilah membawa model yang berbeza sama sekali.
Jika kita tidak menyedari perkara ini sama ada di peringkat Pakatan ataupun kerajaan negeri, kita akan hilang sokongan rakyat. Kita tidak boleh mengambil mudah sokongan mereka. Itulah yang terjadi kepada UMNO dan BN, dan mereka telah dihukum oleh rakyat.
Rakyat khususnya anak-anak muda yang menyokong Pakatan beramai-ramai pada pilihan raya yang lepas, meletakkan harapan mereka di atas bahu kita.