Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

AMK Gesa Malaysia Ambil Pendirian Larangan Kemasukan Orang Islam oleh Trump

Saya mengecam Arahan Eksekutif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menghalang kemasukan individu daripada beberapa buah negara majoriti Muslim.

Seperti yang telah dibahaskan oleh ramai pengkritik, arahan tersebut adalah tidak sah, tidak berperikemanusiaan malah ianya bersifat perkauman. Ia juga telah menyebabkan beberapa individu yang mempunyai dokumentasi yang sah ditahan di beberapa lapangan terbang, walaupun ada yang telah dilepaskan. Ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Amerika yang membantah tindakan kejam kerajaan mereka ini.

Dengan itu saya juga mengalu-alukan keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan AS, Ann Donnelly, yang menghalang pihak kerajaan AS daripada mengusir keluar pendatang yang sedang ditahan di lapangan terbang. Saya juga ingin menzahirkan sokongan terhadap usaha pihak-pihak yang hendak membatalkan arahan tersebut.

Saya juga memanggil pihak Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara bertamadun dunia untuk bersatu dan memberi tekanan kepada pentadbiran Trump untuk menghentikan tindakan ini.

Walaupun setiap negara mempunyai hak untuk mengawal selia sempadan mereka sendiri, tetapi tindakan ini tidak akan memberi jaminan mana-mana negara di dunia ini, termasuklah AS, akan lebih selamat. Malah ia akan menggalakkan lagi kesenjangan di antara AS dan negara-negara Islam. Ini pula akan mengembangkan lagi agenda kebencian kumpulan ekstremis.

Trump juga telah melemahkan lagi keselamatan AS dengan mengeluarkan Pengerusi Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff) dan Pengarah Perisikan Negara daripada kehadiran Majlis Keselamatan AS.

Kerusi ini pula telah diberikan kepada Penasihat Kanan beliau, Stephen K Bannon, seorang bekas aktivis politik yang mempunyai kepercayaan dan retorik yang sering dipersoalkan.

Oleh itu arahan menghalang kemasukan Muslim ini adalah meragukan.

Perkembangan ini menggugat keselamatan AS dan seluruh dunia secaranya amnya.

Saya menyarankan Perdana Menteri Najib Razak, yang dikatakan merupakan seorang rakan golf Trump dan telah mengucap tahniah kepada beliau atas kemenangan pilihanraya AS baru-baru ini, untuk menyatakan pendirian di dalam hal ini, sama ada beliau menyokong atau membantah.

Saya juga menggesa satu sidang khas Parlimen diadakan agar ahli Parlimen boleh membincangkan hal ini dan memutuskan reaksi negara terhadap tindakan tersebut serta yang kita boleh ambil untuk membantu pelarian yang akan terkesan.

Kita juga seharusnya mengambil peluang ini untuk mencermin diri dan menyedari apa yang kita sendiri lakukan serta layanan yang kita berikan kepada pelarian dan pendatang. Ini termasuklah keengganan pihak kerajaan untuk menandatangani Konvensyen PBB Terhadap Status Pelarian 1951 dan Protokol Berkenaan Status Pelarian 1967.

Di dalam kita mengecam kezaliman, kita juga haruslah pastikan perkara sama tidak berlaku di negara kita sendiri.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.