Pada 28 Disember 2021, saya telah menemui Persatuan Penduduk Bersama yang terdiri daripada Persatuan Penduduk Jalan Bukit Setiawangsa 123456, Persatuan Penduduk Bukit Setiawangsa 7, Persatuan Penduduk Bukit Setiawangsa and Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa untuk berbincang tentang risiko tanah runtuh di Bukit Setiawangsa.
Hujan lebat yang berturutan pada 18 Disember telah menyebabkan tanah runtuh di Bukit Setiawangsa. Ini merupakan tapak tanah runtuh yang amat teruk pada tahun 2012.
Saya telahpun melawat tapak tersebut pada 19 Disember dan turut memaklumkan situasi ini kepada Datuk Bandar dan DBKL.
DBKL telah mengesahkan bahawa tanah runtuh di Bukit Setiawangsa berlaku di tanah mereka. Menurut DBKL, Kumpulan Ikram Sdn Bhd ditugaskan untuk menyiapkan laporan untuk DBKL selewatnya pada 4 Januari 2022 supaya kerja pembaikan dan pemulihan di tapak-tapak tersebut dapat dimulakan segera.
Pada masa yang sama, saya sempat meninjau tapak di sekeliling Kolam Air Setiawangsa milik Air Selangor di Puncak Setiawangsa yang menunjukkan beberapa petanda yang membimbangkan. Saya sedang merancang satu lawatan dengan JRA dan Air Selangor.
Saya juga menggesa DBKL untuk mengambil langkah proaktif dalam penguatkuasaan terhadap pihak pemaju demi keselamatan penduduk setempat.
Selain itu, kawasan Parlimen Setiawangsa juga mengalami tanah runtuh di AU3 dan Sri Rampai.
Saya berharap pihak berkuasa dapat memberi perhatian segera kepada perkara ini bagi mengelakkan sebarang kejadian malang. Kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa kira-kira 10 tahun lalu adalah mimpi ngeri buat penduduk. Dengan corak cuaca yang ekstrem disebabkan perubahan iklim yang semakin teruk, kita tidak harus mengambil sikap sambil lewa terhadap perkara serius ini.
Syabas kepada Persatuan-Persatuan Penduduk di Bukit dan Puncak Setiawangsa yang berganding bahu untuk bersikap proaktif demi kesejahteraan penduduk setempat.
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA