Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Pelan Pembukaan Sekolah Secara Bersemuka

Soalan: Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan apakah pendirian terkini Kementerian tentang pelan pembukaan sekolah (PdP) secara bersemuka.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat keputusan untuk membuka semula sekolah secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan A dan 4 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan B.
Justeru, KPM telah membuat persiapan rapi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan warga sekolah sepanjang mereka berada di sekolah. Bagi tujuan ini, satu pelan komprehensif pembukaan semula sekolah telah disediakan. KPM telah menetapkan supaya kapasiti murid di sekolah pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.
Kaedah yang digunakan adalah dengan mengehadkan kapasiti murid di dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut. Oleh itu, sistem penggiliran murid hadir ke sekolah mengikut minggu akan dilaksanakan. Kaedah ini diguna pakai untuk semua kelas kecuali:
i. Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK)/Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK)/Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI);
ii. murid di Tingkatan 6 Semester 2 dan International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun 2;
iii. murid di sekolah asrama sepenuhnya;
iv. murid kelas peperiksaan antarabangsa;
v. murid prasekolah/tadika swasta/pusat perkembangan minda (4- 6 tahun); dan
vi. murid di Sekolah Kurang Murid (kurang 150 murid).
Bagi kelas yang melaksanakan penggiliran, murid di dalam kelas tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Dalam satu-satu minggu hanya satu kumpulan sahaja yang akan hadir ke sekolah manakala kumpulan yang satu lagi akan menjalani PdPR secara sendiri.
Sebagai contoh, kelas yang mempunyai 36 murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu A dan B dengan setiap kumpulan mempunyai 18 murid. Kumpulan A akan hadir pada minggu pertama untuk mengikuti PdP secara bersemuka manakala kumpulan B akan menjalani PdPR secara sendiri. Untuk minggu berikutnya, 18 murid kumpulan B pula akan mengikuti PdP secara bersemuka dan 18 murid kumpulan A tadi akan menjalani PdPR secara sendiri. Kitaran penggiliran ini akan berterusan sehingga dimaklumkan oleh KPM kelak.
Kaedah penggiliran ini membolehkan penjarakan fizikal dalam kelas yang lebih baik dan memudahkan pemantauan guru ke atas murid. Ini juga bagi mengurangkan kesesakan sewaktu pergerakan masuk dan penyuraian di sekolah.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi memastikan kelancaran pengoperasian sekolah, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir serta guru di sekolah.
Berdasarkan garis panduan ini, KPM mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah, termasuk murid. Murid yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah bagi mengelakkan risiko jangkitan dalam kawasan sekolah. Semua sekolah perlu memastikan pengudaraan yang baik di dalam kelas. Murid akan makan di dalam kelas semasa waktu rehat dengan seliaan guru. Bagi kelas yang menggunakan penyaman udara pula, murid perlu makan di ruang terbuka dengan seliaan guru.
Pada masa yang sama, prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM seperti kerap mencuci tangan, saringan suhu badan serta penjarakan fizikal akan terus dilaksanakan di dalam sekolah.
Bagi murid yang akan pulang ke sekolah asrama sepenuhnya, KPM akan melaksanakan ujian saringan COVID-19 kepada murid dengan menggunakan kit ujian kendiri COVID-19. Ujian saringan ini dilaksanakan sebanyak 3 kali, iaitu semasa pendaftaran masuk, hari ke-6 dan hari ke14.
Bagi murid asrama harian pula, ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 akan dilaksanakan semasa pendaftaran masuk. Selain itu, kit ujian kendiri COVID-19 akan disediakan bagi kegunaan sekolah harian untuk membuat saringan awal sekiranya terdapat murid yang menunjukkan gejala ketika di sekolah. Selain daripada pendekatan di atas, KPM menetapkan bahawa hanya guru yang telah lengkap divaksin sahaja dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.
Selain itu, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan (PPS) yang telah lengkap divaksin sahaja dibenarkan memasuki dan bekerja di dalam kawasan sekolah.
KPM yakin pelan pembukaan sekolah ini adalah satu perancangan komprehensif KPM bagi memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat.