Kenyataan Istana Negara hari ini bermaksud kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan wibawa sepenuhnya.
Tindakannya dalam membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah serangan dan pengkhianatan terhadap prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang.
Tambahan pula, dengan tidak menyerahkan pembatalan ke Parlimen untuk dibahaskan, pihak kerajaan dilihat sengaja mengabaikan hasrat Seri Paduka Baginda dalam kenyataan Istana Negara sepertimana berikut;
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.”
Kesalahan ini bukan di atas bahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun sahaja.
Sebaliknya, kontroversi yang berlaku ini menunjukkan secara jelas corak serta tingkah laku pemerintahan Tan Sri Muhyiddin yang terbukti mengabaikan Perlembagaan untuk tujuan dan kelangsungan politiknya.
Pada masa yang sama, Yang Dipertuan Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun juga menggadaikan integritinya dengan menolak permintaan membahaskan pembatalan tersebut di sebalik permintaan berkali-kali dari Ahli-Ahli Parlimen.
Maka Muhyiddin dan kerajaannya tiada pilihan lain kecuali mengundurkan diri serta merta daripada kedudukan jawatan mereka yang telah mereka khianati.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA