Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Pendirian Terhadap Penahanan Lebih Sejuta Muslim Uyghur Dan Sekatan Ke Atas Amalan Agama Mereka Di China

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian negara terhadap penahanan lebih sejuta masyarakat Muslim Uyghur di China dan sekatan terhadap amalan agama mereka sejak tahun 2015.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Setiawangsa atas pertanyaan yang dikemukakan.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Malaysia sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu yang melibatkan kaum minoriti tidak kira di mana jua sekalipun. Ini termasuk isu yang sedang melanda kaum minoriti Islam Uyghur di Xinjiang, China yang sering dilaporkan dan dibincangkan oleh pelbagai pihak.

3. Kerajaan Malaysia sedia maklum bahawa isu mendapat liputan meluas masyarakat antarabangsa. Namun, Kerajaan perlu berhati-hati kerana ia melibatkan urusan dalaman negara China dan adalah menjadi dasar Kerajaan untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara lain.

4. Walau bagaimanapun, Kerajaan percaya bahawa pendekatan menerusi dialog dan meningkatkan persefahaman budaya adalah jalan terbaik bagi memastikan pendirian Malaysia terhadap isu-isu kaum minoriti, termasuk Uyghur, dapat diketengahkan dan disampaikan secara konstruktif tanpa menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain.

5. Bagi mencapai tujuan tersebut, Kementerian Luar Negeri telah membangkitkan perkara ini dalam beberapa siri pertemuan dengan Duta Besar Besar China ke Malaysia. Pada masa yang sama, Kerajaan juga telah menyampaikan pendirian Malaysia semasa pertemuan dua hala antara pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Negeri dengan rakan sejawat mereka dari China.

6. Malah semasa lawatan TYT Wang Yi, Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China ke Malaysia pada 13 Oktober 2020 baru-baru ini, perkara ini turut telah disentuh. Malaysia telah menekankan bahawa kaum minoriti turut memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan negara. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita meraihkan kepelbagaian budaya. Sebaliknya, penindasan ke atas sesuatu kaum hanya akan mencetuskan keganasan dan menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Sekian, terima kasih.