Jawapan kepada isu pemuliharaan hidupan liar dan perhutanan yang dibangkitkan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam Sesi Menjunjung Kasih Yang Dipertuan Agong oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] mohon Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli untuk mengkaji semula Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perhutanan Negara 1984 agar lebih konsisten dan tidak bercanggah antara satu sama lain.
Jawapan:
Tuan Yang Di Pertua,
1. Kementerian sentiasa komited dalam memastikan sumber negara dipelihara dan dipulihara selaras dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa.
2. Secara umumnya tidak terdapat percanggahan di antara Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang dikuatkuasakan oleh JPSM dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang dilaksanakan oleh PERHILITAN. Akta 313 digubal khusus bagi pengurusan hutan dalam mencapai objektif-objektif yang telah digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindahaan 1992), manakala Akta 716 adalah khusus kepada perkara berkaitan hidupan liar, Pengurusan Rezab dan kawasan Perlindungan Hidupan Liar.
3. Kajian semula dan penambahbaikan ke atas Akta 313 dilaksanakan mencakupi aspek-aspek pencegahan pengambilan hasil hutan secara haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan serta pengukuhan pembangunan sektor perhutanan negara.
Semakan semula ini telah bermula dari tahun 2009 setelah pindaan kali pertama pada tahun 1993. Pada masa ini, pindaan Akta 313 sedang diteliti oleh pihak berkuasa negeri untuk proses konsultasi di mana persetujuan Kerajaan Negeri perlu sebelum pindaan tersebut diwartakan oleh Kerajaan.
4. Cadangan pindaan Akta 313 merangkumi empat (4) skop utama iaitu; memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK); memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan secara haram; meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalty tambahan; dan mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta 313.
5. Selanjutnya, Cadangan pindaan Akta 716 pula adalah merangkumi sepuluh (10) skop utama antaranya termasuklah penyelarasan dan pengukuhan hukuman, aktiviti pembiakbakaan dalam kurungan, aktiviti di dalam Rezab Hidupan Liar dan Kawasan Perlindungan, pertambahan kuasa penguatkuasaan, aktiviti penjualan hidupan liar atas talian, spesis hibrid, tanggungjawab pemilik hidupan liar berlesen dan penambahbaikan tafsiran.
Sekian, terima kasih.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli