Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Mengenai Graduan Sarjana Muda Pendidikan Universiti Awam

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan:-

(a) berapa bilangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan universiti Awam yang belum mendapat penempatan selepas tamat belajar sekurang-kurangnya setahun; dan

(b) apakah langkah-langkah yang diambil bagi membela nasib graduan-graduan ini

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Kajian Pengesanan Graduan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, pada tahun 2019, mendapati bilangan graduan warganegara Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam pada tahun 2019 yang belum mendapat penempatan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian adalah berjumlah 598 orang iaitu
17.5 peratus daripada keseluruhan 3,456 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di universiti awam pada tahun tersebut.

Bagi membantu graduan-graduan ini, kementerian telah
melaksanakan tiga (3) strategi iaitu melaksanakan program, dengan izin reskilling dan upskilling; membuat padanan pekerjaan; dan memberikan latihan dan bimbingan keusahawanan.

Melalui pelaksanaan program reskilling dan upskilling, graduan termasuk di bidang pendidikan akan diberikan pengetahuan dan kemahiran tambahan sama ada melalui persijilan kemahiran mahupun persijilan profesional untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Bidang-bidang latihan yang diberi fokus adalah seperti e-Commerce; robotic engineering; Internet of Things (IoT); Artificial Intelligence (AI) serta pengurusan dan kejuruteraan data.

Program-program ini dilaksanakan secara kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi seperti HRDF; MDEC; PUNB, SME Bank, CEDAR dan sebagainya.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga misalnya, sedang merangka kerjasama dengan badan antarabangsa seperti UNESCO dan Consortium of Asia Pacific Education University (CAPEU) untuk melaksanakan program latihan mengajar dan penempatan graduan di sekolah dan kolej di negara ASEAN dan Asia Pasifik.

Melalui kerjasama ini skop pasaran pekerjaan kepada graduan dapat diperluaskan. Selain itu, UPSI juga turut melaksanakan program padanan pekerjaan kepada
graduan ini melalui penempatan di sekolah dan kolej antarabangsa atau swasta di dalam negara.

Tumpuan turut diberikan oleh Kementerian untuk meningkatkan penerapan nilai keusahawanan kepada graduan di bidang pendidikan bagi menggalakkan mereka bekerja sendiri dan mampu berdaya tahan dalam jangka masa panjang.

Melalui pelaksanaan inisiatif Job Creator Framework di bawah Lonjakan Satu (1), Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2015-2025 bagi Pendidikan Tinggi, pelajar diterapkan nilai dan kemahiran keusahawanan untuk menganjakkan minda mereka daripada hanya sebagai pencari kerja (job seeker) kepada pencipta kerja (job creator).

Dalam konteks ini, graduan di bidang pendidikan yang belum
mendapat penempatan dan berminat untuk membuka Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA); Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA); Pusat Tuisyen dan sebagainya yang bersesuaian dengan kemahiran yang mereka miliki akan diberikan latihan dan bimbingan keusahawanan.

Sekian, terima kasih