Konvensyen Pakatan Harapan tahun ini pada 7 Januari yang lalu mencipta sejarah dengan pengumuman Muafakat Pakatan Harapan.
Persetujuan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri untuk PRU14 adalah suatu kesepakatan yang membuktikan kesungguhan Pakatan Harapan untuk menggantikan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tekad membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memulakan proses pengampunannya dengan segera agar beliau dapat memainkan peranan dalam kerajaan sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Dr Mahathir menggabungkan seorang lagi tokoh besar di dalam kerjasama besar ini.
Dengan menggariskan asas-asas agenda perubahan yang membawa harapan buat rakyat, serta persetujuan pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, membuktikan Pakatan Harapan kini menjadi kerajaan menunggu (government-in-waiting).
Banyak pihak yang merasakan muafakat ini tidak akan tercapai. Ramai merasakan beban sejarah akan menghalang kesepakatan ini. Namun pimpinan kita telah membuktikan sebaliknya. Masing-masing mengenepikan kepentingan masing-masing bagi membawa harapan buat rakyat.
Setiap parti melahirkan pandangan mereka sebelum muafakat ini dicapai. Pandangan itu hak setiap individu. Tetapi dengan tercapainya muafakat ini, kita harus ada disiplin untuk berpegang kepada tanggungjawab bersama dan mengenepikan pandangan peribadi kita.
Justeru, marilah kita bergerak ke hadapan. Masing-masing pulang ke kawasan masing-masing bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan di kawasan mereka. Berbekalkan agenda yang digariskan dalam Muafakat Pakatan Harapan, kita sudah ada kerangka dasar untuk membersihkan negara dan mengangkat martabat rakyat.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN / KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
MOHD SANY HAMZAN
TIMBALAN KETUA PEMUDA HARAPAN / KETUA PEMUDA AMANAH NASIONAL
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
TIMBALAN KETUA PEMUDA HARAPAN / KETUA PEMUDA PPBM
WONG KAH WOH
TIMBALAN KETUA PEMUDA HARAPAN / KETUA PEMUDA SOSIALIS DAP