Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Isu Ekonomi Muslim-Bumiputera

Lebih enam dekad selepas Merdeka, isu ekonomi Muslim-Bumiputera masih menjadi polemik tidak berkesudahan. Terbaru isu boikot barangan bukan Islam.

Perkara ini perlu dilihat dari sudut hujah, bukan emosi; fakta, bukan sentimen yang melulu.

Saya setuju ekonomi Muslim-Bumiputera berhadapan cabaran besar – tetapi dalam cabarannya lebih kompleks daripada boleh diselesaikan isu boikot yang mungkin mempunyai kesan lain yang tidak dirancang (unintended consequences).

Isu berjual-beli dengan bukan Islam ini bukan perkara baru, malah Rasulullah s.a.w. sendiri, seorang saudagar, berjual-beli dengan masyarakat bukan Islam. Di Khaibar, selepas ditakluki Rasulullah, orang Yahudi dibiarkan bercucuk-tanam di atas ladang di sana memandangkan kepakaran mereka dalam perkara tersebut.

Pada akhir hayat baginda, baginda membeli gandum dari orang Yahudi dan kerana tidak mampu membayarnya, menggadaikan baju perisainya.

Begitu juga, ketika Islam menjadi semakin kuat dan mentadbir empayar yang besar, masyarakat Islam tiada masalah berurusan dengan bukan Islam. Di Andalusia, masyarakat Yahudi yang berhadapan tekanan di Eropah berhijrah ke sana dan memainkan peranan penting di dalam kerajaan, bidang ilmiah dan sektor ekonomi seperti perdagangan sutera.

Selepas kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia, orang Islam dan Yahudi berhijrah beramai-ramai ke wilayah-wilayah Islam yang lain, termasuk Turki Uthmaniyyah.

Pemerintah Uthmaniyyah melihat kedatangan pelarian Yahudi sebagai elemen penting memajukan Istanbul dan kota-kota utama lain sebagai pusat perdagangan dan pertukangan. Masyarakat Ortodoks Kristian, golongan bukan Islam terbesar di Uthmaniyyah diberikan beberapa kelebihan di dalam perdagangan.

Sehingga ke awal tahun 1800, ekonomi Turki Uthmaniyyah dari segi pendapatan purata lebih tinggi daripada Eropah atau Jepun, dan setanding dengan negara-negara Eropah Barat.

India di bawah pemerintahan Mughal pula, pada 1700, merupakan 24 peratus daripada ekonomi dunia, lebih besar daripada Empayar Qing China dan Eropah. Ekonomi yang mengalami proto-industrialisasi ini menyumbang suku daripada keluaran pembuatan ekonomi dunia sehingga hujung abad ke-18.

Raja Todar Mal, seorang beragama Hindu, menjadi Menteri Kewangan pada zaman Akbar Khan; manakala Aurangzeb, yang mempunyai reputasi kontroversi di kalangan bukan Islam melantik kakitangan kerajaan Hindu yang ramai atas alasan ia dibuat atas kebolehan, bukan agama.

Di Melaka sendiri, dikatakan 84 bahasa digunakan di bandarnya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, menunjukkan sikap kemajmukan yang luar biasa.

Balik kepada isu boikot – kita harus lihat semula, dalam ekosistem ekonomi, banyak produk melibatkan kolaborasi syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera. Ada syarikat yang memiliki pemilik Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Bagaimana pula syarikat Bumiputera yang melibatkan Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak? Banyak syarikat bukan Bumiputera ada pekerja Islam. Sekiranya timbul tindakan balas dari pembeli bukan Islam, siapa yang rugi jika bukan pengusaha Islam?

Akhirnya, kita patut mengambil peluang kekuatan kita dalam ekonomi halal dan kewangan Islam, yang diterima bukan sahaja bukan Islam di Malaysia malah di peringkat antarabangsa untuk lebih ke hadapan.

Kita wajar memanfaatkan kemajmukan kita untuk membolehkan kita mendapat manfaat dari ekonomi global, dengan pertumbuhan pesat di rantau Asia.

Esok saya akan tulis tentang keadaan ekonomi Melayu-Islam di Malaysia dan bagaimana boleh kita bergerak ke depan.