Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah judi atas talian yang begitu meluas pada hari ini.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat komited dalam menangani judi haram di dalam negara sehingga ke akar umbi. PDRM mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak dan akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan kemelut perjudian haram ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memerangi aktiviti perjudian sepertimana pengumuman oleh Ketua Polis Negara (KPN) pada 20 Julai 2018 telah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri untuk membuka bilik gerakan khas bertujuan menerima aduan daripada masyarakat berhubung kegiatan judi di kawasan mereka. Masyarakat boleh membuat aduan secara terus kepada bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian yang telah disediakan. Selain itu Ketua Polis Daerah akan dipertanggungjawab sepenuhnya jika didapati masih terdapat aktiviti perjudian masih berlaku dalam daerahnya, tindakan drastik akan diambil dengan menukarkannya secara serta merta dan tindakan tatatertib juga akan diambil jika siasatan yang dijalankan mendapati beliau terlibat dalam melindungi dalang perjudian haram ini.
Antara langkah lain yang diambil untuk membendung aktiviti perjudian atas talian seperti berikut:-
1) Mengambil tindakan alternatif terhadap penganjur kegiatan perjudian haram di bawah dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) jika tiada keterangan yang kukuh untuk didakwa di mahkamah;
2) Bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menutup atau menyekat semua laman sesawang yang berunsurkan perjudian dari luar negara;
3) Bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Air (PBA) negeri untuk tindakan permotongan bekalan air dan elektrik terhadap premis yang mengulangi kesalahan yang sama di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953; dan
4) Mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang disalahgunakan menjadi tempat perjudian serta menggurangkan kelulusan lesen PHK untuk masa hadapan.