Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dakwaan Yang Arif Datuk Dr Hamid Sultan Mesti Dilihat Secara Serius

Saya telah membuat laporan polis berikutan dakwaan mengejutkan yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan Yang Arif Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer tentang institusi kehakiman dan Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Dr Hamid menyebut tentang seorang anggota sistem kehakiman yang digelar ‘ARLC’.

Beliau menyebut ‘ARLC’ terlibat dalam kes saya. Saya telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana menganjurkan Himpunan Black 505 pada 2013.

Saya kemudian mencabar keputusan kes itu dari segi Perlembagaan Persekutuan. Di Mahkamah Rayuan, hakim kes saya adalah Yang Arif Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (kini Yang Dipertuan Dewan Rakyat), Yang Arif Datuk Mah Weng Kwai (kini Pesuruhjaya SUHAKAM) dan Dr Hamid. Mereka sebulat suara melepaskan dan membebaskan saya.

Namun ARLC kemudian berada di Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan yang tidak selari dengan Perlembagaan agar pimpinan pembangkang ketika itu boleh didapati bersalah dan dihalang dari bertanding.

Hasrat Kerajaan Barisan Nasional dan Peguam Negara ketika itu jelas apabila saya didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen. Hakim dengan tepat memutuskan mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Pendakwaraya membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi dan keputusan yang sama dikekalkan.

Akhirnya saya menyaman Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara dan berjaya di dalam saman tersebut.

ARLC juga terbabit di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh.

Dr Hamid mendedahkan dalam kes Fitnah 2 Anwar, pertemuan berlaku antara Timbalan Perdana Menteri ketika itu dan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan. ARLC sendiri terlibat dalam kes itu untuk memastikan Anwar didapati bersalah. Ini disifatkan sebagai sebuah tragedi oleh Dr Hamid.

Sebelum ini kita didedahkan dengan pembayaran RM9.5 juta kepada peguam yang dilantik untuk mendakwa Anwar, Tan Sri Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Razak.

Dr Hamid juga mendedahkan bahawa beliau dimaklumkan oleh seorang hakim berpangkat tinggi bahawa “sesiapa yang ingin naik pangkat mestilah membuktikan mereka mampu membuat keputusan sukar menentang kepentingan pembangkang dan berpihak kepada kerajaan.”

Sebarang tindakan yang melemahkan sistem kehakiman kita dan integritinya tidak boleh diterima. Justeru, saya menyokong gesaan untuk menyiasat isu ini dengan lebih mendalam dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam perkara ini. Jika dakwaan ini betul, reformasi kehakiman mesti berlaku untuk memulihkan sistem kehakiman kita dan memelihara Perlembagaan dan keluhuran undang-undang di negara ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA