Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Fokus Pada Semangat Buku Harapan

MINGGU ini, tujuh bekas ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu. Saya secara konsisten mengatakan menentang hal sebegini. Ramai rakan seperjuangan saya dalam Pakatan Harapan (PH) berkongsi pandangan yang sama.

Marilah kita memberi tumpuan kepada cabaran yang dihadapi pada masa sekarang dan bagaimana untuk bergerak maju ke hadapan.

Satu perkara yang perlu kita lakukan adalah bersedia untuk mendengar semua sudut pandang- termasuk pandangan yang kita tidak bersetuju.

Ada yang berkata ‘pelompat’ ini perlu untuk meningkatkan sokongan Melayu Islam untuk PH.

Mereka juga berhujah bahawa langkah itu perlu untuk menghadapi kerjasama UMNO-Pas yang muncul, dan dikatakan semakin popular di media sosial selain memperkuatkan kedudukan gabungan PH di luar bandar – seperti Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Memang benar bahawa PH tidak memenangi undi popular pada pilihan raya lepas dan hanya mendapat 48.31%. Sebenarnya, 50.79% daripada undi Barisan Nasional (BN) dan Pas menang adalah kebanyakannya dari orang Melayu di Pantai Timur dan Utara Semenanjung serta Bumiputera Islam di Sarawak.

Tampaknya sokongan Melayu kepada PH tidak menonjol. Walaupun kebanyakan dakwaan ini didorong oleh suara-suara nyaring UMNO dan Pas, ada kebimbangan sebenar dalam kalangan orang-orang Melayu yang mereka sedang terancam: baik secara politik dan sosioekonomi.

Adakah kehadiran individu yang ‘melompat’ akan memenangi sokongan Melayu? Tetapi adakah mengambil ‘pembelot’ daripada UMNO cara terbaik untuk meredakan kebimbangan ini?

Mengapakah tidak pelbagai komponen PH melalui proses evolusi sehingga kita boleh memenangi sokongan semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu luar bandar?

Kenapa beberapa pemimpin kita seolah-olah berniat mengambil jalan pintas, dan bukannya kerja keras (yang akhirnya akan memberi ganjaran)?

Adakah kita benar-benar meninggalkan idea dwi parti? Mengapa beberapa pemimpin PH menganggap bahawa masyarakat Melayu akan terperdaya dengan mengambil ‘pelompat’ ini?

Adakah masyarakat Melayu luar bandar mempunyai pemikiran satu aliran sahaja? Adakah kuantiti benar-benar lebih penting dalam tadbir urus dan politik dan bukannya kualiti?

Jika memungut ‘pelompat’ bukan caranya, bagaimanakah PH akan menyelesaikan isu “dilema Melayu” ini?

Salah satu cara adalah menjadi UMNO 2.0, termasuk menolak pembaharuan dalam usaha memainkan sentimen kaum dan agama. Inilah jalan yang telah diambil oleh Pas.

Itulah pilihan mereka dan ia juga bermakna mereka bukan lagi parti Dr. Burhanuddin al Helmy, Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat.

Alternatifnya adalah berpegang kepada janji progresif tetapi juga inklusif yang kita buat melalui Buku Harapan. Manifesto kempen PRU-14 adalah dokumen yang dipersetujui semua pihak PH.

Tetapi ia juga satu solusi yang mengatasi kegusaran dan masalah semua segmen masyarakat Malaysia, termasuk orang Melayu.

Buku Harapan boleh dilaksanakan. Kita tidak dapat menyempurnakan semua janji 100 hari itu – tetapi itu tidak bermakna ia tidak dapat direalisasikan. Demikian juga dengan janji-janji lain.

Sesetengah perkara mungkin perlu berlaku mengikut keutamaan, tetapi ia mesti dilakukan jika negara mahu berkembang maju. Kita tidak sepatutnya mengetepi Buku Harapan kerana kecenderungan politik.

Mereka mengundi kerana Pakatan Harapan beri mereka harapan

Adalah sinis dan tidak jujur untuk mengatakan bahawa PH hanya menang kerana skandal 1MDB dan kemarahan terhadap Najib Razak. Itu sememangnya tidak benar.

Rakyat Malaysia mengundi kita bukan hanya kerana marah atas skandal dan salah urus BN, tetapi kerana PH punyai wawasan lebih baik untuk masa depan negara.

PH patut belajar untuk memberi jawapan “ya” untuk rakyat. Warga Malaysia memberi kita mandat pada 9 Mei 2018. Kita tidak perlu risau tentang majoriti Parlimen. Kecualilah sesetengah pihak mempunyai pengiraan politik untuk memecahkan muafakat PH.

Seperti yang saya katakan berkali-kali, majoriti dua pertiga kadang-kadang lebih banyak masalah daripada yang sepatutnya.

Ia hanya pindaan Perlembagaan – apabila mereka perlu – dilakukan melalui persetujuan dua pihak, dengan bercakap dan bekerja dengan pembangkang dan masyarakat madani.

PH perlu fokus berkhidmat dan mengurus pentadbiran negara. Dan “memerintah”, bermakna merubah ekonomi dan membolehkan faedahnya dirasai semua rakyat termasuk orang Melayu.

Orang Melayu akan mendapat manfaat daripada politik progresif
Kita wajib menyedarkan orang Melayu terhadap idea bahawa politik dan tadbir urus progresif menjaga kepentingan mereka.

Siapakah yang membentuk majoriti golongan miskin bandar? Jawapannya, orang Melayu. Siapa yang membentuk majoriti golongan berpendapatan rendah? Juga orang Melayu.

Siapa yang membentuk majoriti peniaga kecil dan penjaja yang bergelut untuk mencari nafkah? Orang Melayu. Keluarga siapa yang majoriti mereka berjuang untuk membayar hutang isi rumah tinggi? Orang Melayu.
Siapakah majoriti pekebun kecil yang bergelut dengan harga komoditi rendah dan kelewatan dalam pembayaran kerajaan? Ya, Orang Melayu.

Menawarkan ekonomi yang menyelesaikan nasib segmen masyarakat ini, walaupun dalam cara tidak bersifat perkauman, akan memberi impak lebih banyak untuk memenangi pengundi Melayu daripada cuba mengalahkan UMNO dan Pas dalam rentak mereka – atau mempelawa ‘pelompat’.

Pengundi di kawasan ini tidak mengundi PH. Suka atau tidak mereka memilih visi yang dimiliki oleh BN dan Pas untuk Malaysia.

Perpindahan Ahli Parlimen mereka yang melompat ke PH tidak mungkin mengubah pandangan mereka serta-merta.

Sebaliknya, menyelesaikan isu-isu periuk nasi akan mengatasi rasa tidak puas hati dalam jangka masa panjang.

Pengwujudan Majlis Tindakan Ekonomi Nasional (MTEN) adalah hak prerogatif Perdana Menteri dan begitu juga komposisinya – walaupun terdapat beberapa watak penting yang tidak dipilih.

Ahli-ahli yang dipilih dibezakan dan dihormati dalam bidang kepakaran masing-masing. Tetapi kemunculan MTEN telah menyebabkan spekulasi terhadap prestasi Kabinet.

Terdapat persepsi tentang ada percubaan yang dibuat untuk mengelakkan proses biasa tadbir urus berasaskan Kabinet dalam pengurusan ekonomi Malaysia.

Adalah mudah untuk mengetepikan kritikan ini, tetapi ia akan mempunyai kesan nyata terhadap bagaimana pengundi melihat kerajaan PH. Jika kita memimpin, rakyat akan mengikutinya.

Saya harap ini adalah sesuatu yang pemimpin-pemimpin Kerajaan dan Persekutuan akan ambil kira untuk bergerak maju, terutamanya apabila berurusan dengan ‘pelompat’ dan bagaimana agenda pentadbiran dilaksanakan.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Suka atau tidak, proses juga sepenting hasil yang ingin dicapai.

Malaysia memerlukan penyelesaian yang sesuai untuk rakyat ramai, bukan kelompok kecil.

Kita memerlukan dasar untuk hari ini dan masa hadapan. Sering kali kita seolah-olah menunjukkan akan kembali kepada kerangka ekonomi Malaysia lama.

Fokus pada semangat Buku Harapan adalah jalan untuk bergerak ke hadapan. Ini akan membawa kita jauh ke arah memenangi hati Melayu luar bandar tanpa mengenepikan Melayu di bandar dan bukan Melayu yang mengundi kita.

Walaupun UMNO dan Pas mula menggunakan lebih isu agama dan kaum, kita tidak seharusnya menari mengikut rentak mereka.

Tetapi kita mesti memberikan mereka ruang untuk berfungsi sebagai pembangkang yang memainkan peranan semak dan imbang. Itulah kepimpinan.

Mari kita yakin siapa kita, apa yang hendak kita lakukan dan ke mana kita hendak pergi. Jika kita ikhlas, rakyat – termasuk orang Melayu -akan mengikutinya.

NIK NAZMI NIK AHMAD ialah Ahli Parlimen Setiawangsa dan Ketua Setiausaha Kerja PKR.