Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Isu Pimpinan UMNO Lompat Parti

Seperti dilaporkan oleh kebanyakan media, beberapa tokoh UMNO, termasuk Ahli Parlimen, telah meninggalkan atau merancang untuk meninggalkan parti mereka dengan niat yang jelas untuk menyertai Pakatan Harapan.

Walaupun kebebasan berpersatuan dan menyertai parti politik mesti dihormati, cukup penting juga untuk pilihan pengundi semasa Pilihan Raya Umum yang lalu dipelihara.

Menerima secara terbuka mereka yang melompat parti merupakan penghinaan terhadap proses pilihan raya dan akan menghancurkan kewibawaan demokrasi kita.

Pakatan Harapan sudah memiliki majoriti kerusi Parlimen untuk memerintah di peringkat pusat.

Sebarang isu yang memerlukan majoriti dua pertiga perlu diusahakan melalui usaha dwiparti – pembangkang dan kerajaan.

Oleh itu, saya berharap tidak ada tokoh politik dari pembangkang yang akan diterima dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan tanpa muafakat dan persetujuan kepimpinan kesemua parti komponen menerusi Majlis Presiden.

Tekanan terhadap pembangkang dan penyokongnya mesti dihentikan. Kita bukan sekadar kerajaan baru semata-mata, tapi perlu mentadbir dengan cara yang baru. Kita perlu pembangkang yang kuat untuk mengelakkan tragedi lama berulang.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA