Saya membaca dakwaan Annuar Musa berhubung isu mahasiswa diberi ugutan untuk ditarik biasiswa mereka sekiranya menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.
Saya fikir hal ini perlu mendapat pengesahan atau respon daripada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Adakah Menteri Pendidikan maklum tentang hal ini atau terdapat penjawat awam yang masih mengamalkan budaya lama?
Kita telah berjuang untuk memansuhkan AUKU sebelum ini. Akta tersebut juga telah dipinda akibat keputusan mahkamah yang membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik di luar kampus. Kini apabila menjadi kerajaan, kita telah bertekad untuk memansuhkan AUKU.
Sepatutnya isu ugutan terhadap mahasiswa yang terlibat dengan politik tidak timbul.
Ramai di antara kita mempunyai pengalaman merasakan betapa hebatnya tekanan AUKU. Sebagai penerima biasiswa, saya juga terima surat amaran.
Oleh itu, saya menyeru agar isu ini diberi perhatian dan diambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan semangat Perlembagaan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA