Ucapan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki dalam Perhimpunan Agung UMNO jelas menunjukkan bahawa parti itu tidak mengerti mengapa mereka telah dikalahkan dan dimalukan.
Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung mereka, Asyraf mendakwa bahawa UMNO tidak pernah bersifat perkauman, atau menafikan hak kaum lain yang dijamin dalam Perlembagaan negara.
Beliau juga dilaporkan berkata “Saya mahu memberi amaran kepada mereka yang telah menjadi sombong supaya tidak melupakan asal-usul mereka atau mengundang kemarahan orang ramai.”
Retorik semacam ini menunjukkan bahawa UMNO terlalu sombong untuk belajar dari kekalahan mereka pada 9 Mei 2018 lepas.
Kebanyakan kritikan terhadap UMNO dan jenama politiknya tidak berniat untuk mempersoalkan muafakat Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera atau Islam sebagai agama persekutuan.
Sebaliknya, isu yang dikritik adalah tindakan selektif oleh kerajaan yang diterajui UMNO yang mahu meneruskan dasar yang gagal, amalan rasuah dan penindasan politik.
Ramai orang Melayu melihat UMNO yang sering mendakwa juara dalam memperjuangkan isu bangsa Melayu sebagai khayalan kosong. Satu sandiwara untuk menutup perbuatan salah urus mereka terhadap kekayaan negara serta ketidakupayaan mereka untuk menaikkan taraf hidup masyarakat.
Apa yang lebih memalukan, kerajaan yang diterajui oleh UMNO gagal untuk mewujudkan rasa kebersamaan rakyat Malaysia dan rasa saling menghormati di antara pelbagai kaum dan agama.
Perbuatan tidak wajar pemimpin-pemimpin UMNO tertentu seperti menghunus keris dan memberi gelaran “pendatang” kepada rakyat bukan Melayu menjadikan ramai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa merasakan diri mereka tidak dihargai dan khuatir akan masa hadapan negara.
UMNO hari ini adalah parti yang berbeza berbanding hari-hari Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Komentar memalukan Asyraf membuktikan hal ini, termasuk juga peletakan jawatan beberapa pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini.
UMNO, saya ulangi – terlalu sombong untuk belajar. Mereka tidak akan mendapat sebarang sokongan atau dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia sehingga mereka ingin belajar. Hal ini adalah amat malang, Malaysia Baharu bukan sahaja memerlukan kerajaan yang kuat dan berkesan, tetapi pembangkang yang dipercayai dan dihormati.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA