Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Malaysia & ASEAN Harus Tegas Isu Rohingya

Malaysia dan negara-negara ASEAN harus mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan tragedi Rohingya yang berlaku di Myanmar.

Laporan Misi Pencari Fakta Antarabangsa mengenai Myanmar yang dikeluarkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah mendapati bahawa “…pelanggaran hak asasi manusia dan pencabulan” telah berlaku di Rakhine dan wilayah-wilayah lain di negara itu.

Laporan tersebut juga berpendapat bahawa “…jenayah serius di bawah undang-undang antarabangsa telah dilakukan yang mewajibkan siasatan dan pendakwaan jenayah” seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Ini termasuk tuduhan “…pembunuhan; penyeksaan; layanan kejam; penghinaan terhadap maruah diri; serangan terhadap orang awam; menempatkan semula orang awam; merompak; menyerang objek dilindungi; mengambil tebusan; hukuman atau pelaksanaan hukuman tanpa melalui proses yang betul; termasuk rogol; perhambaan seksual; dan keganasan seksual” di Rakhine.

Laporan tersebut juga menyeru pesalah jenayah ini untuk didakwa di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Ketua Panglima, Jeneral Kanan Min Aung Hliang—iaitu pemerintah sebenar negara itu.

Kesan terhadap rejim Myanmar berikutan laporan itu dapat dilihat berlaku dengan cepat. Facebook dilaporkan telah menyekat media sosial pemimpin tertinggi Myanmar kerana menyebarkan ucapan berbaur kebencian, termasuk 18 akaun Facebook, 1 akaun Instagram dan 52 laman Facebook yang mempunyai kira-kira seramai 12 juta pengikut.

Selain itu, 132 penggubal undang-undang dari lima buah negara Asia Tenggara melalui Ahli Parlimen ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (APHR) pada 24 Ogos 2018 mengeluarkan kenyataan bersama yang menyebut “…anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mesti merujuk keadaan di Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Memandangkan Myanmar bukan penandatangan Statut Rom, ICC tidak mempunyai bidang kuasa di negara itu dan hanya UNSC yang boleh memulakan penyiasatan oleh ICC.”

Kerajaan Malaysia harus menyokong tindakan untuk membawa pelaku kekejaman di Myanmar ke muka pengadilan.

Selain terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian, kerajaan juga harus mendorong ASEAN untuk mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di sana.

Secara khususnya, Perkara 2(2)(e) dalam Piagam ASEAN dan fasal-fasal lain yang menghuraikan apa yang digelarkan sebagai prinsip tidak campur tangan dalam “hal ehwal dalam negeri” negara anggota mesti dipinda untuk mengecualikan kes-kes melampau—seperti pembunuhan beramai-ramai. Itulah tindakan yang tepat.

ASEAN merupakan platform terbaik untuk menamatkan penderitaan orang Rohingya dan konflik lain di Myanmar.

Penyertaan Myanmar dalam kumpulan serantau pada tahun 1997—yang Malaysia memainkan peranan penting dalam memudahkannya—boleh dikatakan memainkan peranan penting dalam pembukaan negara tersebut.

Oleh itu, Malaysia dan ASEAN tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk menamatkan kekejaman yang berlaku di Myanmar.

Penindasan dan pembunuhan harus dihentikan, pergaduhan diakhirkan, golongan yang ditempatkan semula pulang ke kampung halaman dan kedamaian serta perpaduan diwujudkan di Myanmar.

Sekiranya pemimpinnya enggan berbuat demikian, masyarakat antarabangsa harus masuk campur.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN