Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

#HarapanAnakMuda: Ke arah sistem pendidikan yang terbaik dan adil

Kerajaan baru-baru ini telah mengakui bahawa sistem pendidikan negara perlu dikaji semula, tetapi langsung tidak menyentuh perihal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang baru sahaja dihasilkan sambil menelan jutaan ringgit untuk merancang pelan jangka panjang sistem pendidikan dengan sasaran pencapaian pada tahun 2025.

Acap kali kita dapat melihat perkara ini berlaku di negara ini di mana Menteri Pendidikan baru mengambil alih tugas dan terus hendak mengolah semula pendidikan negara tanpa sasaran yang jelas mahupun perancangan yang baik dan mampan dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

Ia bukan sahaja menjejaskan kualiti pendidikan negara, tetap ia juga memberi kesan buruk kepada sesetengah golongan masyarakat yang tidak mampu mendapatkan pendidikan yang lebih baik, sama ada kerana tiada kemampuan mahupun kerana kerajaan tidak memberi perhatian yang secukupnya.

Mendemokrasikan pendidikan

Kerajaan ini telah memberi begitu banyak janji manis di dalam hal pendidikan, tetapi akhirnya hampir ke semuanya tidak langsung menyelesaikan permasalahan sebenar. Mereka langsung tidak menetapkan strategi yang serasi dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bersifat mahu mengukuhkan lagi asas insan melalui pendidikan.

Salah satu perkara asas yang dipertikai adalah hak dan capaian kepada pendidikan yang pada ketika ini amatlah tidak sama rata pada setiap tahap perkembangan. Di dalam hal ini Pemuda Pakatan Harapan menjanjikan pengagihan pendidikan berkualiti yang lebih adil, yang akhirnya akan menangani kesenjangan sosial yang semakin meluas akibat keadaan sedia ada.

Kami percaya sepenuhnya bahawa pendidikan bermula sejak lahir, oleh itu kami juga percaya bahawa pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan percuma adalah penting agar semua orang boleh memulakan kehidupan dengan baik. Mengambil contoh program TUNAS di negeri Selangor yang menyara sebahagian yuran taska golongan kurang berkemampuan, konsep ini boleh diperkembangkan lagi di peringkat kebangsaan.

Pada peringkat sekolah rendah dan menengah pula, kami mencadangkan desentralisasi sebahagian pentadbiran sekolah, dengan memberi kuasa autonomi yang lebih kepada sekolah dan pejabat pendidikan daerah. Kami sedar bahawa pendidikan adalah dinamik, dan dengan kesenjangan yang jelas di pelbagai peringkat masyarakat negara ini, tidak mungkin semua sekolah boleh berteraskan satu sistem pendidikan tanpa kesan-kesan yang berlainan.

Kerajaan Persekutusan juga haruslah memainkan peranan yang lebih besar untuk membantu sekolah-sekolah alternatif, mengiktiraf pilihan ibu bapa untuk menetapkan pendidikan anak mereka. Kerajaan Selangor dan juga Pulau Pinang telah mengusahakan perkara ini melalui sokongan mereka kepada sekolah aliran agama dan vernakular.

Di dalam hal yang sama, kami juga akan melaburkan lebih banyak wang untuk menambahbaik prasarana sekolah di kawasan luar bandar terutamanya dengan membina jalanraya yang selamat ke sekolah dan juga pembinaan asrama. Pelajar perlu belajar di dalam keadaan yang kondusif untuk pembelajaran, namun begitu keadaan sekarang terlalu lemah bagi kebanyakan mereka.

Mengiktiraf UEC dan empat thanawi

Satu lagi isu yang saban tahun diketepikan oleh kerajaan adalah pengiktirafan sijil UEC dan empat thanawi. Perkara ini amatlah membingungkan kerana pihak kerajaan dan juga negara bakal memperoleh begitu banyak kesan positif dengan mengiktiraf sijil-sijil ini.

Untuk UEC terutamanya, sijil ini telahpun diiktiraf oleh universiti-universiti terkemuka di peringkat antarabangsa tetapi terus tidak diendahkan di Malaysia. Akibatnya, Malaysia sering kehilangan bakat insan sendiri kepada negara luar.

Kerajaan Selangor telah mengiktiraf sijil UEC melalui universiti yang dimiliki kerajaan negeri, dan kerajaan Pulau Pinang dan Sarawak juga sama telah mengisytiharkan pengiktirafan yang sama. Polisi ini haruslah dipanjangkan ke peringkat kebangsaan untuk mengelakkan aliran keluar bakat yang berterusan.

Agenda pendidikan tinggi

Tambahan daripada itu, kami juga tetap dengan pendirian untuk memberikan pendidikan percuma di universiti-universiti awam.

Dengan kenaikan kos sara hidup serta kadar gaji yang mendatar, tindakan pihak kerajaan BN amatlah tidak adil, dan dalam pada itu mereka masih bertindak tidak berhati perut dengan memotong belanjawan pendidikan tinggi dan biasiswa dengan begitu banyak sekali seakan-akan ingin menghukum rakyat.

Realiti yang telah ditunjukkan di negara lain seperti Finland, Jerman, Sweden dan Norway adalah konsep pendidikan percuma ini boleh berjaya, kerana negara-negara ini juga telah diiktiraf mempunyai antara sistem pendidikan terbaik di dunia.

Pada masa yang sama kami juga tidak menganggap PTPTN boleh dilupuskan secara serta-merta tetapi perlu ada pertimbangan terutamanya di dalam pembayaran semula pinjaman. Dengan mengambil kira kos kehidupan yang meningkat, kami mengesyorkan agar pembayaran semula pinjaman PTPTN hanya wajib sekiranya gaji seseorang itu sudah mencapai tahap minima RM4,000.

Universiti juga haruslah diberikan kuasa autonomi dan kebebasan agar pelajar boleh melibatkan diri di dalam isu-isu yang memberi kesan kepada negara. Pemilihan Naib Canselor dan Rektor Universiti mestilah dilakukan tanpa campurtangan politik.

Pakatan Harapan juga mencadangkan pembinaan lebih banyak institusi pendidikan tinggi termasuklah universiti, kolej pendidikan dan kolej vokasional, untuk mengurangkan kebergantungan kepada institusi pendidikan tinggi swasta. Dengan ini, IPTS yang tidak berkelayakan akan berkurangan dan memastikan hanya yang terbaik kekal berdaya saing.

Manakala untuk mengurangkan kadar graduan yang berlebihan, kami juga akan menyemarakkan lagi sistem pendidikan teknikal dan vokasional bertaraf tinggi yang berperanan penting sekiranya negara ini hendak bergerak ke arah ekonomi maju berteraskan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Komitmen ke arah masa depan yang saksama

Kerajaan Barisan Nasional telah gagal mengendali sistem pendidikan negara dan telah mempertaruhkan masa depan rakyat. Kita haruslah mengambil pendirian tegas untuk menolak kerajaan yang tidak dapat merancang satu program pendidikan yang lebih adil, saksama dan mampan bertujuan menambahbaik kehidupan setiap anggota masyarakat. Oleh kerana pedidikan adalah asas penting untuk menangani kesenjangan sosial, Pakatan Harapan berjanji untuk mengutamakan pendidikan demi kesejahteraan masa depan.

#HarapanAnakMuda

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua AMK

Wong Kah Woh
Ketua Pemuda DAPSY

Syed Saddiq Abdul Rahman
Ketua ARMADA

Mohd Sany Hamzan
Ketua Pemuda AMANAH