Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kerajaan perlu sangkal dakwaan DOJ secara terbuka

Berikutan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini berkenaan saman sivil oleh Jabatan Keadilan (Department of Justice) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang berkait dengan 1MDB, Angkatan Muda Keadilan menyeru pihak kerajaan untuk menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut secara terbuka.

DOJ telah mengendalikan kes ini mengikut proses yang ditetapkan, dan telah melakukannya secara konsisten terhadap pesalahlaku 1MDB walaupun telah berlaku pelbagai perubahan pentadbiran dengan Presiden yang baru iaitu daripada Obama kepada Trump, dengan parti politik baru yang menguasai pentadbiran serta peguam negara yang baru.

Tindakan DOJ, menurut mereka sendiri, adalah untuk “melindungi keselamatan dan integriti sistem kewangan Amerika daripada segala penyalahgunaan, termasuklah oleh kleptokrat yang hendak menyimpan kekayaan yang diperoleh secara haram atau pencurian”.

Jelas daripada kenyataan ini, tindakan itu untuk melindungi kepentingan AS dan bukan untuk mencampur tangan di dalam perihal negara kita, oleh itu kerajaan perlu buktikan sebaliknya.

Walau apa pun, jika ada sesiapa yang merasakan mereka tidak sepatutnya didakwa di dalam dokumen DOJ, mereka sepatutnya boleh sahaja campur tangan di dalam proses mahkamah untuk memadamkan nama mereka daripada dokumen mahkamah tersebut.

Kita sudah lihat beberapa selebriti terkemuka dunia seperti Leonardo DiCaprio dan Miranda Kerr memulangkan “hadiah” yang diberikan oleh Jho Low, yang ada disebut namanya di dalam saman DOJ bersama anak isteri Perdana Menteri, Riza Aziz.

Para selebriti ini telah lakukan apa yang patut untuk membersihkan nama daripada skandal 1MDB, mungkin juga wajar untuk pihak berkuasa kita menuruti langkah ini dan bekerjasama dengan pihak AS tanpa menetapkan syarat.

Tetapi pihak berkuasa Malaysia juga harus ingat bahawa bukan AS sahaja yang sedang menyiasat dan bertindak ke atas kes 1MDB ini. Negara lain seperti Singapura, Luxembourg, Switzerland, Hong Kong dan Australia juga ada mengambil tindakan tegas.

Mengapakah Perdana Menteri masih lagi tidak menyaman Wall Street Journal tentang isu 1MDB sehingga ke hari ini?

Rakyat mahukan jawapan dan kebenaran, pada masa ini kami langsung tidak dapat apa-apa daripada pihak kerajaan.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.