Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

AMK kecam penggunaan Akta Hasutan dan SOSMA terbaru

Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau pihak berkuasa ke atas pihak pembangkang dan pengkritik kerajaan beberapa minggu ini.

Laporan terkini adalah berkenaan perilaku pihak polis terhadap Khalid Ismath, yang dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah berkenaan kesemua dakwaan yang dibuat ke atasnya.

Menurut laporan media, keluarga beliau sendiri mengatakan bahawa Khalid telah dipaksa mengaku bersalah untuk membolehkan beliau berjumpa dengan ahli keluarga.

Ugutan oleh pihak polis itu melanggar hak pihak yang tertuduh, kerana beliau sepatutnya tidak boleh dipaksa menjawab sebarang soalan dengan paksaan.

Penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi untuk menyekat suara pembangkang juga harus dipersoal, kerana kegunaannya hanyalah berteraskan politik. Kami tetap dengan pendirian bahawa undang-undang kolot itu, yang mana Perdana Menteri Najib Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat, adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kejadian ini menyusuli penangkapan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, dan dakwaan tidak masuk akal ke atas mereka kerana melaporkan salahlaku pihak 1MDB.

Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal, dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang tersebut adalah untuk menyekat aktiviti keganasan.

Kerajaan BN haruslah berhenti mengugut rakyat dan menjawab segala persoalan yang di suarakan. AMK juga menggesa pihak kerajaan untuk berhenti berselindung di sebalik undang-undang yang telah disalah tafsir dengan sengaja semata-mata untuk mengelak daripada diambil tindakan kehakiman