Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Harapan generasi muda: pendidikan, pekerjaan dan perumahan

Kehidupan anak muda kini penuh dengan pelbagai cabaran. Di peringkat awal kehidupan lagi, hutang di keliling pinggang: hutang PTPTN, hutang kenderaan, hutang peribadi dan hutang kad kredit.

Pekerjaan yang ada tidak seberapa. Ramai juga yang sukar mendapat pekerjaan. Apa penyelesaian yang ditawarkan Perdana Menteri? Menjadi pemandu Uber!

Memiliki rumah sendiri menjadi impian tak kesampaian bagi generasi muda.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menggubal dasar-dasar yang boleh mengatasi masalah keberhutangan ini.

Tiga harapan besar anak muda adalah pendidikan, pekerjaan dan perumahan. Inilah tiga isu utama yang generasi muda berharap dapat diselesaikan. Pendidikan percuma yang berkualiti, pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan perumahan mampu milik yang selesa untuk semua adalah impian semua generasi muda, tanpa mengira Melayu atau India, Semenanjung atau Sabah dan Sarawak, Islam atau bukan Islam.

Pemuda Pakatan Harapan akan mengadakan Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan tahun depan untuk menggariskan tawaran-tawaran kepada anak muda dengan fokus khusus kepada isu-isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan.

Saya percaya, memberi tawaran yang terbaik dalam isu-isu ini akan memberi kesan lebih besar menarik sokongan rakyat khususnya generasi muda berbanding mengharapkan kemarahan rakyat terhadap skandal dan rasuah yang membelenggu negara pada hari ini semata-mata.

Kesenjangan ekonomi yang melebar menjadi realiti bukan sahaja di Malaysia malah di dunia. Kejayaan tokoh-tokoh politik yang dilihat luar dari arus perdana sebelum ini, sama ada Bernie Sanders dan Donald Trump di Amerika, mahupun Jeremy Corbyn di Britain, menjadi bukti bahawa hanya mereka yang mampu menggamit imaginasi rakyat dalam realiti baru ini yang mampu bersaing. Kita tidak boleh ketinggalan.