Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Menteri bertanggungjawab penuh isu penyelewengan wang KBS tidak cukup dengan hanya memantau siasatan

Khairy Jamaluddin baru-baru ini menyatakan bahawa beliau akan mengambil tanggungjawab penuh di dalam kes penyelewengan wang lebih RM100 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Angkatan Muda Keadilan menganggap ini sebagai satu janji yang harus diambil serius kerana ia melibatkan integriti menteri dan kerajaan.

Walaupun beliau seakan-akan berpendirian tegas mahu memantau siasatan ini sehingga ianya selesai, untuk kes yang sebesar ini ia bukanlah suatu tindakan yang sudah cukup memadai.

Siasatan di dalam penyelewengan ini seharusnya melibatkan siasatan ke atas peranan Menteri yang telah mengaku tidak mengetahui langsung tentang kejadian itu. Oleh itu, Menteri juga sepatutnya dijadikan sebahagian daripada subjek penyiasatan. Maka dengan itu sebaiknya Khairy mengambil tanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan dan membiarkan KSN serta pihak SPRM mengetuai siasatan.

Perlu diingatkan di sini bahawa di sesetengah negara maju, jika Menteri berjanji untuk mengambil tanggungjawab penuh di atas sesuatu penyelewengan yang berlaku di bawah penyeliaan mereka, Menteri tersebut akan meletakkan jawatan.

Di samping itu kami juga menggesa pihak SPRM untuk menyiasat setiap Menteri yang pernah menyelia Kementerian Belia dan Sukan sepanjang tempoh berlakunya penyelewengan tersebut.

Perkara serius seperti ini memerlukan penyiasatan komprehensif dan tidak boleh terhenti sekadar menghukum seorang penjawat awam. Jelas di sini kelemahan sistem pentadbiran dan perbendaharaan telah didedah dengan mudah tanpa disedari, oleh itu kerajaan memerlukan satu reformasi lengkap agar kejadian ini tidak berulang lagi.