Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dewan Negara harus menolak RUU MKN bagi menyelamatkan demokrasi Malaysia

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (“RUU MKN”) yang diluluskan secara tergesa-gesa melalui Dewan Rakyat baru-baru ini adalah ancaman paling teruk ke atas demokrasi berparlimen dan hak asasi rakyat Malaysia.

RUU MKN ini memusatkan anggota keselamatan seperti tentera, dan polis di bawah Perdana Menteri. RUU ini merampas kuasa dan perogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat dan memberikan kuasa ini secara natijahnya kepada Perdana Menteri dengan memberikannya kuasa untuk mengisytiharkan ‘kawasan keselamatan’. Di samping itu, Kerajaan juga diberikan kuasa yang besar di dalam kawasan keselamatan tersebut yang akan memberi kesan ke atas hak-hak rakyat.

Amat membimbangkan bahawa walaupun ‘keselamatan negara’ digunakan berkali-kali di dalam RUU tersebut, ia tidak ditakrifkan di dalam RUU MKN. Ini memberi ruang kepada kerajaan untuk menggunakan kuasa besar yang diberikan oleh RUU MKN dengan sewenang-wenangnya. Hakikat bahawa negara ini mempunyai bermacam-macam undang-undang yang setiap satunya lebih kuku besi dari yang sebelumnya kononnya atas alasan ‘keselamatan’ jelas sekali menunjukkan bahawa RUU MKN ini hanyalah suatu alat oleh kerajaan yang makin hari makin terdesak untuk berpegang pada tampuk kuasa.

Rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain telah disalahgunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika membuat laporan di negara lain terhadap 1MDB boleh dikatakan sebagai mensabotaj institusi kewangan negara, tidak keterlaluan untuk kita membayangkan penyalahgunaan kuasa yang akanmdigunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional atas nama ‘keselamatan’ melalui undang-undang MKN. Kita tidak boleh menerima sebarang jaminan bahawa kerajaan ini tidak akan menyalahgunakannya ke atas rakyat.

Mengapa RUU yang sebegini penting hanya didedahkan kepada Malaysia pada saat-saat akhir dan perbahasan serta pengundiannya digesa-gesakan melalui Parlimen? Apakah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional tidak sedar akan kesannya ke atas seluruh Malaysia, dan kuasa yang bakal digegang oleh seorang individu bergelar Perdana Menteri?

Pada tahun ini sahaja, kita sudah melihat sekurang-kurangnya 2 undang-undang yang diluluskan Parlimen yang mencabuli hak rakyat iaitu Akta Pencegahan Keganasan (PoTA) dan pindaan ke atas Akta Hasutan. Nampaknya Kerajaan Barisan Nasional mahu mengakhiri 2015 dengan menggubal satu lagi undang-undang yang mengancam demokrasi negara.

 

Kami menggesa Ahli-ahli Dewan Negara untuk menolak keseluruhan RUU MKN ini dengan segara demi menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan kerajaan autoritarian.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.