AMK amatlah dukacita dan risau dengan tindakan kerajaan untuk menyekat akses kepada laman sesawang Sarawak Report.
Pada masa yang sama, kelakuan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Abdul Rahman Dahlan untuk mempertahankan tindakan kerajaan itu adalah tidak wajar sama sekali.
Sikap beliau bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri Najib Razak yang menyatakan sebelum ini bahawa kerajaan sudah tidak boleh lagi menentukan segalanya untuk rakyat negara ini.
Pendirian Menteri tersebut bagaikan hendak mengatakan bahawa rakyat Malaysia belum cukup matang dan tidak boleh berfikir untuk diri sendiri.
Padahal, penyangkalan dakwaan Lester Melanyi baru-baru ini oleh Sarawak Report lebih membawa padah kepada Menteri dan kerajaan Malaysia. Kebergantungan mereka kepada testimoni seorang individu yang tidak berwibawa tanpa menyelidik dahulu dakwaan-dakwaan tersebut hanya mempamerkan ketidakcekapan mereka dalam menangani isu ini.
Lester sebelum ini telah mengaku bahawa beliau dibayar untuk membuat pengakuan, dan kini beliau juga didapati telah menipu dengan sewenang-wenangnya menggunakan gambar seorang individu di London untuk melengkapkan cerita dongeng beliau tentang seorang pereka web yang memalsukan dokumen. Kebergantungan kepada dakwaan-dakwaan Lester hanya membawa kesan buruk kepada reputasi negara ini.
Para pengundi Malaysia sekarang bolehlah fikir sendiri apa yang pihak kerajaan sebenarnya anggap tentang rakyat negara ini.
Kerajaan sepatutnya menjawab dengan lengkap setiap dakwaan yang dibuat oleh Sarawak Report dan media-media lain berkenaan hal ini, bukannya menafikan buta-buta sahaja dan menyekat akses kepada sesuatu laman sesawang.
Apa yang jelas sekarang ini adalah kerajaan telah gagal menjawab dakwaan dengan baik dan ini menjejaskan lagi kepercayaan rakyat kepada pihak kerajaan.
Menyekat laman sesawang atau menghalang pihak media daripada melaporkan sesuatu itu bukanlah tindakan yang wajar bagi sesuatu demokrasi yang matang atau negara yang membangun.
Tindakan sebegitu hanya memburukkan lagi reputasi negara yang semakin parah di persada dunia. Pada masa ini, tindakan kerajaan untuk menyekat akses kepada Sarawak Report sudah pun dilaporkan oleh media antarabangsa, termasuklah media The Guardian, UK.
Kerajaan mestilah menghentikan sekatan itu dan menjalankan penyiasatan penuh dan berkecuali ke atas setiap dakwaan yang telah dibangkitkan.
Kerajaan juga mesti bertekad untuk menghentikan sebarang penindasan ke atas pihak media.