Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jadikan PRK Permatang Pauh referendum GST

Pilihan raya kecil N44 Permatang Pauh yang akan menyaksikan pertembungan antara President Parti Keadilan Rakyat, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin, bukanlah pilihan raya kecil biasa tetapi ia juga memberi peluang rakyat menyuarakan penolakan terhadap penindasan yang dilakukan kerajaan BN dengan pengenalan cukai GST.

Saya kira pilihan raya kecil ini berserta pilihan raya kecil Rompin merupakan satu referendum terhadap cukai GST dan saya mengesyorkan agar pengundi menjadi wakil kepada seluruh rakyat Malaysia dengan mengundi Pakatan Rakyat dan menyatakan bahawa rakyat menolak perlaksanaan cukai yang membebankan itu.

Jelas kepincangan dalam perlaksanaan GST adalah satu isu yang tidak dapat dielak oleh kerajaan Barisan Nasional walaupun sudah sebulan ia dilaksanakan. Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, berulang kali cuba mengalih isu sebenar cukai tersebut dengan memberi gambaran bahawa ianya lebih baik daripada cukai SST, bahawa kenaikan harga barang hanya dilakukan oleh peniaga “pro-pembangkang” dan rakyat tidak akan terbeban malah sudah menerima GST.

Namun begitu apa yang lebih jelas diperlihatkan setelah sebulan perlaksanaannya adalah ia merupakan satu cukai yang menindas rakyat dan kenyataan bahawa ia tidak membebankan pengguna adalah satu penipuan sama sekali. Rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi.

KEADILAN dan Pakatan sudah berulang kali meminta penjelasan terhadap isu-isu kritikal cukai GST malah kami juga telah menjemput Ahmad Maslan untuk berdebat tentang cukai tersebut, namun ia telah ditolak, jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN masih tidak mahu mendengar aduan dan persoalan yang dikemukakan oleh rakyat.

Rakyat Malaysia sudah semakin menyedari kekejaman kerajaan BN yang menghukum rakyat negara ini sedangkan mereka yang tidak berupaya mengurus kewangan negara, oleh itu pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin memberi peluang yang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cukai GST dan kelemahan kerajaan BN mentadbir urus negara.